Pada 27 Februari lalu bertempat di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad selaku Perdana Menteri interim telah membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.

Pakej tersebut bertujuan khas untuk memastikan kelancaran ekonomi negara yang sedikit sebanyak terkesan dengan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Kementerian Kewangan Malaysia

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi yang bernilai RM20 bilion ini, kerajaan telah menetapkan untuk memberi perhatian kepada tiga strategi utama iaitu: 

  1. Menangani impak COVID-19;
  2. Memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat; dan
  3. Menggalakkan pelaburan berkualiti

Strategi pertama: Menangani impak COVID-19

Disebabkan oleh penularan wabak COVID-19, tidak dapat dinafikan bahawa sektor pelancongan menerima kesan yang besar kerana penurunan kedatangan pelancong.

Justeru itu, bagi membantu mana-mana syarikat penerbangan, syarikat pelancongan dan industri peruncitan yang terkesan, kerajaan mengambil tiga pendekatan bantuan yang dipercayai mampu menampung kerugian yang dialami.

Gambar hiasan/Unsplash

Pendekatan yang dimaksudkan oleh Tun Dr. Mahathir adalah dengan memudahkan aliran tunai bagi perniagaan yang terkesan, bantuan kepada individu yang terjejas dan merangsang permintaan dalam industri pelancongan.

Menerusi strategi pertama yang diumumkan ini, beberapa bantuan penting telah dipersetujui bagi merangsang ekonomi negara. Antaranya adalah:

1. Membenarkan penundaan ansuran bulanan cukai pendapatan bagi perniagaan yang terjejas 

2. Pemberian diskaun sementara selama enam bulan sebanyak 15% daripada bil elektrik secara bulanan bagi hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat beli-belah, pusat konvesyen dan pameran 

3. Mengecualikan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi hotel dan syarikat pelancongan

4. Mengecualikan cukai perkhidmatan bagi hotel (bermula Mac hingga Ogos 2020)

5. Penyediaan tabungan pinjaman kewangan kepada syarikat yang terkesan

6. Pengurangan beban kewangan bank dalam bentuk penangguhan bayaran atau perjadualan semula pinjaman

7. Menggalakkan syarikat perhotelan dan pusat beli-belah untuk menawarkan diskaun dan mengurangkan kadar sewa premis

8. Kadar sewa premis, caj pendaratan dan parkir di lapangan terbang Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) akan dikurangkan

Gambar hiasan/Unsplash

9. Bayaran secara one-off bernilai RM600 kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran, pemandu pelancong dan penarik beca berdaftar

10. Pemberian elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor serta kakitangan perubatan (berkuatkuasa Februari 2020 sehingga wabak berakhir)

11. Pemberian elaun khas sebanyak RM200 kepada kakitangan Imigresen dan kakitangan lain yang terlibat (berkuatkuasa Februari 2020 sehingga wabak berakhir)

12. Penyediaan peruntukan (sektor kesihatan) yang mencukupi bagi memastikan wabak COVID-19 kekal terkawal

13. Penawaran potongan berganda kepada perbelanjaan untuk latihan bagi sektor pelancongan

14. Penyediaan geran padanan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bernilai RM100 juta untuk membiayai tambahan 40 ribu pekerja daripada sektor pelancongan dan sektor lain yang terkesan

15. Subsidi sebanyak RM50 juta untuk pembiayaan kursus jangka pendek dalam bidang digital dan kemahiran tinggi

Gambar hiasan/Unsplash

16. Penambahbaikan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan peningkatan kos latihan yang boleh dituntut daripada RM4,000 kepada RM6,000 disamping tambahan elaun harian sebanyak RM30 sehari kepada pelatih

17. Pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik

18. Pemberian baucer digital bernilai RM100 seorang untuk penerbangan domestik, keretapi dan penginapan di hotel berlesen

19. Penyediaan geran padanan untuk mempromosi pelancongan

20. Melonggarkan arahan untuk mengehadkan penggunaan hotel oleh agensi kerajaan

Strategi kedua: Memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat

Gambar hiasan/Unsplash

Selain daripada industri pelancongan, terdapat juga industri lain yang turut sama terkesan dengan penularan wabak COVID-19. Antaranya adalah seperti sektor pengeksportan yang dalam masa yang sama memberi kesan besar kepada ekonomi negara. 

Oleh itu, untuk merangsang permintaan domestik, kerajaan akan menyalurkan peruntukan secara langsung kepada rakyat melalui langkah-langkah berikut:

1. Pengurangan caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 11% kepada 7% sahaja

2. Bayaran ansuran Bantuan Sara Hidup sebanyak RM200 yang dijadualkan pada bulan Mei diawalkan kepada bulan Mac 2020

3. Tambahan RM100 akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima BSH pada bulan Mei dan tambahan RM50 disalurkan secara e-tunai

4. Menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport dengan pemberian sebanyak RM1 billion dalam Tabung AgroFood pada kadar 3.75%

5. Pemberian sebanyak RM10 juta kepada FAMA untuk menyediakan kemudahan simpanan makanan agar harga dapat dikurangkan

Gambar hiasan/Unsplash

6. Pemberian geran sebanyak RM1,000 kepada 10,000 usahawan tempatan yang menjual produk dan barangan di platform e-dagang

7. Peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta kepada Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) untuk program perkhidmatan e-Dagang Setempat bagi menaik taraf Pusat Internet Desa kepada hab e-dagang

8. Peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion bagi pelaksanaan segera kerja-kerja selenggaraan dan pembaikan infrastruktur kecil di seluruh negara

9. Kerajaan melalui Kementerian Kewangan Malaysia akan meningkatkan nilai untuk perolehan melalui kaedah cabut undi dari RM50,000 kepada RM100,000 dan kaedah sebut harga dari RM500,000 kepada RM800,000

10. Memastikan (melalui Kementerian Kewangan Malaysia) peruntukan yang secukupnya disalurkan kepada agensi pelaksana masing-masing menjelang suku pertama tahun 2020

Strategi ketiga: Menggalakkan pelaburan berkualiti

Untuk merangsang lagi ekonomi negara walaupun ekonomi dunia agak terjejas dengan wabak COVID-19, kerajaan Malaysia komited untuk memastikan kesinambungan pelaburan awam dan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan tahun 2020.

Gambar hiasan/Unsplash

Oleh itu, untuk mencapainya, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan agensi awam digalakkan untuk mempercepatkan projek pelaburan untuk tahun 2020, termasuklah projek-projek seperti yang berikut:

1. Bidaan janakuasa tenaga solar 1,400 MW oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim yang melibatkan pelaburan swasta bernilai RM5 bilion dan bakal menjana pekerjaan untuk 25,000 orang pekerja

2. Pelaburan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebanyak RM3 bilion untuk kerja berkaitan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara

3. Pelaburan bernilai RM13 bilion oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk mempercepatkan projek lampu jalan LED, grid transmisi dan pemasangan panel solar bumbung

Gambar hiasan/Unsplash

Selain itu, Tun Dr. Mahathir juga turut membentangkan strategi kerajaan untuk mempromosikan pelaburan sektor swasta yang bernilai tambah yang lebih tinggi melalui:

1. Peruntukan sebanyak RM500 juta untuk Dana Pelaburan Bersama dengan pelabur swasta pada padanan sekurang-kurangnya 1 nisbah 3

2. Pengecualian yuran penyenaraian di papan Leading Entrepreneur Accelarator Platform (LEAP) dan di papan Access, Certainty, Efficiency (ACE) melalui Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia bagi tempoh 12 bulan

3. Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS bernilai RM300 juta

4. Elaun Modal dipercepatkan selama tempoh dua tahun untuk perbelanjaan ke atas mesin dan kelengkapan termasuk ICT

5. Potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian premis perniagaan sehingga RM300,000

6. Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan dan pembelian peralatan untuk operasi pelabuhan bagi tempoh 3 tahun bermula 1 April 2020

Gambar hiasan/Unsplash

Di akhir pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, Tun Dr. Mahathir sempat menyelitkan situasi ekonomi merudum yang dialami oleh Malaysia pada tahun 2003 akibat penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan pakej rangsangan yang diperkenalkan pada ketika itu dapat membantu meningkatkan semula tahap ekonomi negara pada ketika itu.

Oleh itu, pada masa ini, Tun Dr. Mahathir memohon kerjasama daripada pihak swasta secara langsung dan tidak langsung untuk turut terlibat dengan pakej ini agar rancangan ini dapat berjaya demi kelangsungan dan keharmonian negara.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES Ekonomi NASIONAL

Video Popular