TOKYO — Ahli Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (IOC) paling lama berkhidmat, Dick Pound menganggarkan tempoh selama tiga bulan untuk memutuskan nasib Olimpik Tokyo yang kini berhadapan dengan ancaman COVID-19.

Pound yang telah berkhidmat sejak 1978, iaitu 13 tahun lebih lama daripada Presiden, Thomas Bach, tanpa berselindung telah mendedahkan risiko yang bakal dihadapi oleh Olimpik Tokyo yang bakal bermula pada 24 Julai kelak.

Gambar HIasan/VisualHunt

“Kita terpaksa menunggu selama dua bulan, ini bermakna keputusan untuk melaksanakannya hanya akan diputuskan pada penghujung bulan Mei dengan harapan virus tersebut dapat dikawal”.

“Banyak perkara yang perlu diambil kira. Anda perlu mula meningkatkan aspek keselamatan, makanan, perkampungan Olimpik, hotel dan para petugas media pula akan berada di sana untuk membina studio mereka”.

“Jika IOC mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya di Tokyo, anda mungkin akan melihat kepada pembatalan. Pada sekitar tarikh berkenaan, boleh saya katakan orang ramai akan bertanya, adakah ia sudah dapat dikawal yang menyebabkan kita yakin mengenai Tokyo atau tidak?”, katanya.

China setakat ini melaporkan sebanyak 508 kes baru dan 71 lagi kematian, 68 daripadanya di pusat bandar Wuhan, di mana wabak itu mula-mula dikesan pada bulan Disember. Hasil kemas kini mendapati jumlah keseluruhan di China adalah 77,658 kes dan 2,663 kematian.

Di Korea Selatan pula mempunyai jumlah kes sebanyak 977, termasuk 10 kematian. Kelompok-kelompok penyakit kini muncul di Timur Tengah dan Eropah. Ini boleh menandakan peringkat baru dalam penyebaran virus itu dengan empat kematian yang dilaporkan di Jepun.

Sungguhpun begitu, Pound masih menggalakkan para atlet untuk kekal menjalani latihan. Diramalkan kira-kira 11,000 peserta untuk Olimpik, manakala seramai 4,400 peserta pula untuk Paralimpik yang bakal membuka tirai pada 25 Ogos akan datang.

“Setakat yang kita tahu, mereka akan berada di Tokyo. Semua petunjuk pada tahap ini menunjukkan bahawa ia akan berjalan seperti biasa. Oleh itu, teruskan fokus pada sukan dan pastikan bahawa IOC tidak akan menghantar peserta ketika pandemik”, kata Pound.

Olimpik moden yang berasal daripada tahun 1896 hanya dibatalkan semasa perang, dan menghadapi isu boikot pada tahun 1976 di Montreal, pada tahun 1980 di Moscow dan 1984 di Los Angeles. Pada tahun 1940, Olimpik yang sepatutnya berjalan di Tokyo dibatalkan ekoran perang Jepun-China dan Perang Dunia ke-2.

Buat masa ini, menurut Pound, IOC masih lagi mengalami ketidakpastian dan mereka bergantung terhadap rundingan bersama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melakukan apa-apa langkah. Setakat ini, ia masih berjalan seperti dirancang.

“Ini merupakan satu keputusan yang besar anda tidak boleh mengambil ringan akannya sehingga anda mempunyai fakta yang cukup. Buat masa ini, ia tidak dibatalkan atau ditangguhkan. Kita tidak boleh menangguhkan sesuatu yang berskala besar seperti Olimpik”, jelas Pound.

“Terdapat begitu banyak pihak yang terlibat, begitu banyak negara dan musim yang berbeza, serta musim kompetitif, selain musim penyiaran televisyen. Kami tidak boleh sewenang-wenangnya memutuskan bahawa kami akan melakukannya pada bulan Oktober”.

Jika perubahan perlu dibuat, Pound berkata setiap pilihan menghadapi halangan dan ia seolah-olah tidak mungkin. “Untuk memindahkan tempat agak sukar kerana mana mungkin lokasi lain berupaya untuk menyediakan kemudahan dalam masa yang singkat”, katanya.

Jika ia kekal diadakan di Tokyo tetapi mengadakannya lebih awal pula akan mengganggu jadual penyiaran pihak Amerika Utara kerana ia mungkin sama dengan musim Luruh – jadual bola sepak Amerika dan juga jadual perlawanan bola sepak Eropah, hoki ais dan bola keranjang.

“Agak sukar untuk mendapatkan liputan penuh seperti yang diharapkan oleh orang ramai untuk Sukan Olimpik”, tambahnya. Jika ditangguhkan pada tahun hadapan pula, menurut Pound, ia seperti menjaga ‘gelembung buih’ dengan tambahan satu tahun.

Secara puratanya, Jepun sudah membelanjakan $12.6 bilion bagi menganjurkan sukan ini walaupun lembaga audit nasional mendapati bahawa negara terbabit telah membelanjakan kos sebanyak dua kali ganda daripadanya.

Pound berkata IOC telah menyalurkan ‘dana kecemasan’ untuk keadaan itu yang dilaporkan berjumlah kira-kira $1 bilion, di mana jumlah itu boleh membiayai persekutuan sukan antarabangsa yang bergantung kepada pendapatan daripada IOC untuk beroperasi dan IOC itu sendiri.

“Ia dipanggil ‘force majeure’ yang merujuk kepada frasa undang-undang untuk keadaan yang tidak dapat dielakkan”, jelas Pound. Ia bukan satu risiko yang boleh diinsuranskan dan ia bukan sesuatu yang boleh dikaitkan dengan pihak lain.

Beliau berkata pihak penyiar mungkin mempunyai insurans sendiri yang akan mengurangkan beberapa kerugian. Kira-kira 73% pendapatan IOC berjumlah $5.7 bilion dalam kitaran Olimpik selama empat tahun adalah daripada hak siaran.

Namun buat masa ini, Pound berkata bahawa masa depan Sukan Olimpik Tokyo terletak di tangan IOC – bergantung kepada keadaan virus itu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL SUKAN

Video Popular