Kita semua sedia maklum akan kemelut politik yang melanda negara sejak akhir-akhir ini. Justeru, ramai wartawan mula berkumpul sejak awal pagi bagi ‘memburu’ maklumat terkini mengenai isu tersebut.

Inilah pengorbanan mereka yang bekerja dalam bidang media. Terpaksa bersengkang mata dan menahan lapar demi melaporkan berita terkini kepada rakyat Malaysia.

FMT/YouTube

Menariknya, daripada jutaan individu, pihak Istana Negara yang peka dengan kebajikan para pengamal media ini telah membelikan puluhan kotak makanan segera KFC untuk dijamu kepada pihak media.

Ramai juga wartawan yang mengucapkan terima kasih kepada pihak Istana Negara kerana prihatin dengan nasib mereka.

Hari ini, satu lagi kejutan menanti warga media apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi membelanja petugas-petugas media dengan makanan dari restoran McDonald’s.

Lebih mengejutkan lagi apabila Baginda sanggup mencemar duli turun padang bagi mengagihkan makanan ini kepada petugas media yang berkumpul di perkarangan Pintu 2 Istana Negara bagi membuat liputan isu semasa politik negara.

MalaysiaGazetteTV/YouTube

Baginda turut kelihatan sentiasa mengukirkan senyuman semasa mengagihkan makanan dan meminta semua pihak agar bersabar dan bertenang sementara isu pergolakan politik ini diselesaikan.

“Kita amat prihatin. Bersabarlah, biar saya laksanakan tanggungjawab. Saya berharap dapat mencari jalan penyelesaian terbaik demi negara,” kata YDP Agong.

FMT/YouTube

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin mengeluarkan kenyataan bahawa YDP Agong telah menitahkan kesemua 221 Ahli Parlimen untuk menghadirkan diri ke Istana bagi menjalani satu sesi temubual secara peribadi dengan Baginda.

Mari kita sama-sama berdoa agar segala kemelut politik yang melanda negara pada masa ini akan selesai tanpa membawa sebarang kemudaratan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular