Demi rasa cinta dan kasih sayang, seseorang itu sanggup mengenepikan kepentingan diri sendiri dan akan lakukan apa sahaja untuk yang tersayang. Misalnya rasa sayang terhadap haiwan peliharaan kesayangan.

Itulah yang dilakukan oleh seorang gadis Kanada berusia 21 tahun, Kristina Shramko apabila dia enggan meninggalkan bandar Wuhan susulan penularan COVID-19 walaupun diberi pilihan, semuanya kerana kucing kesayangannya!

Kristina difahamkan telah berpindah ke Wuhan lapan bulan yang lalu bersama dengan teman lelakinya, namun ketika darurat pada bandar tersebut diisytiharkan, teman lelakinya pada ketika itu terlibat dengan urusan perniagaan di luar kawasan.

Penutupan bandar tersebut kemudiannya menyebabkan teman lelaki Kristina tidak dapat pulang ke rumah mereka. Oleh sebab yang demikian, maka Kristina hanya tinggal berkeseorangan ditemani oleh kucingnya, Kitya.

Memandangkan kerajaan Kanada tidak membenarkan kucing dibawa pulang ke Kanada menaiki pesawat khas, maka Kristina memutuskan untuk tidak meninggalkan bandar tersebut semata-mata mahu bersama dengan Kitya di Wuhan.

“Saya tidak tahu bila wabak berkenaan akan berakhir, jadi jika saya tinggalkannya (Kitya), ianya seperti satu pengabaian, walaupun saya berikannya kepada rakan”, kata Kristina pada Business Insider.

Tetapi kehidupan apabila dikuarantin bukanlah sesuatu yang mudah. “Selepas sebulan bersendirian tanpa berinteraksi dengan orang lain, ia benar-benar memberi kesan pada aspek mental”, tambahnya.

Sehingga kini, kerajaan China mengarahkan sejumlah 50 juta penduduknya di wilayah berkenaan dikuarantin di rumah. Di samping itu, kesemua jaringan pengangkutan awam sama ada masuk atau keluar dari Wuhan telah dihentikan.

Sepanjang tempoh kuarantin berkenaan, Kristina banyak menghabiskan masa dengan melayari laman YouTube selain menonton filem. Dia juga ada merakamkan video dirinya bersama Kitya di rumah selain membaca buku.

Kri3tina/YouTube

Kristina berharap agar kerajaan Kanada akan membenarkan pemindahannya bersama Kitya pulang ke Kanada. “Sepanjang tempoh kuarantin ini, Kitya ada bersama saya. Jadi saya harus ada untuknya juga”, akhiri gadis itu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL INSPIRASI

Video Popular