Sejak kebelakangan ini, seni mural dan grafiti semakin mendapat perhatian peminat seni. Seni mural misalnya merupakan karya seni lukisan yang menggunakan cat pada dinding, siling atau lain-lain permukaan kekal yang besar. 

Lukisan mural biasanya akan menampilkan tema dan penceritaan menjadikan sesuatu tempat atau lokasi itu satu tarikan dan tumpuan orang ramai.

Lebih-lebih lagi apabila ia adalah lukisan mural terbesar di Malaysia yang kini telah berjaya disiapkan dan lokasinya terletak di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Pendidik2U/Facebook

Hasil seni mural mengagumkan itu telah dihasilkan oleh seorang artis mural, Fadzlan Rizan Johani. 

Beliau mengambil masa selama 9 bulan untuk menyiapkan lukisan mural pada bangunan pejabat dan kediaman yang sebelum ini kelihatan usang dan tiada seri.

Pendidik2U/Facebook

Berkat ketekunan dan usaha gigih Fadzlan Rizan tanpa mendapat apa-apa bantuan khas, lukisan mural bertema ‘Tree of Hope’ berjaya disiapkan pada bangunan yang berkeluasan 1,950 meter persegi itu.

Lukisan mural ‘Tree of Hope’ dengan tema alam semula jadi menghijau kini adalah lukisan mural terbesar di Malaysia.

Pendidik2U/Facebook

Menurut Fadzlan Rizan dalam satu temuramah media, beliau hampir berputus asa dan berniat untuk menyerahkan projek tersebut kepada artis lain dalam tempoh penghasilan mural itu berlangsung.

Namun atas berkat sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh ahli keluarga dan rakan-rakan, akhirnya lukisan mural terbesar itu telah berjaya disiapkan pada bulan Januari.

Pendidik2U/Facebook

“Saya makan, tidur dan solat di sini,” kata Fadzlan Rizan menceritakan pengalamannya menyiapkan mural di bangunan itu.

Beliau menambah, dirinya hanya berehat beberapa jam bermula jam 2 petang dan menyambung kerja selepas waktu Asar sepanjang tempoh 9 bulan.

Cabaran paling besar dalam menyiapkan lukisan mural di atas bangunan ini sudah tentulah ketika musim hujan.

Pendidik2U/Facebook

Sebanyak 250 liter cat telah digunakan dalam menyiapkan projek mural terbesar di Malaysia, ‘Tree of Hope’ ini.

Hasil karya seni mural dan usaha gigih Fadzlan Rizan Johani yang kini mendapat ucapan tahniah dan pujian ramai dengan rasa kekaguman.

Pendidik2U/Facebook

Syabas diucapkan kepada Fadzlan Rizan Johani kerana telah berjaya merealisasikan impian dan melakar sejarah sebagai pelukis individu tempatan yang menghasilkan mural terbesar di Malaysia.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular