Pemergian insan tercinta sememangnya memberikan satu impak kehilangan yang besar dalam diri seseorang.

Pemergian yang bukan bersifat sementara tetapi buat selama-lamanya ini amat meruntun hati kerana tiada sesiapa pun yang dapat menggantikan insan tersebut dan tiada sesiapa pun yang mampu mengubat rindu pada mereka yang telah tiada.

Inilah yang terjadi kepada seorang anak syurga bernama Muhammad Nazren Firdaus yang lebih mesra dengan gelaran Abang. Abang yang menghidap autisme sememangnya memiliki hubungan yang akrab dengan arwah bapa.

Bapanyalah yang rajin melayan setiap kerenah Abang, memandikan Abang setiap hari, memberus gigi Abang, membawa Abang bersiar-siar dengan menunggang motosikal. Namun kini, segalanya berubah apabila Abah meninggal dunia.

Natipah Abu/Facebook

Kisah ini telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Natipah Abu. Menurut Natipah yang sememangnya mengenali arwah dan Abang sejak Abang masih kecil, kedua-dua beranak ini sangat rapat.

Justeru, pemergian Abah ternyata membuatkan Abang terkilan. Meskipun Abang tidak memiliki daya pemikiran seperti manusia normal, namun Abang tahu dan sedar akan situasi tersebut.

“Sungguh pun Abang tidak pandai membilang hari, tetapi bila tiba hari Jumaat, Abang seakan tahu Abang akan berjumpa Abah. Tidak kira apa pun alasannya, setiap Jumaat, Abang mesti jumpa Abah”.

Setiap kali menziarahi pusara arwah, Abang akan merangkul erat batu nisan sepertimana dia merangkul tangan bapanya dahulu. Bukan sahaja itu, Abang juga akan ‘bercakap’ dengan Abahnya sambil berbaring di sebelah pusara Abah. Melihat dan membayangi keadaan ini pasti akan membuatkan hati sesiapa sahaja menjadi sayu.

Keadaan ini disedari oleh semua ahli keluarga. Malah, arwah juga pernah menyatakan kebimbangannya terhadap Abang sekiranya umur Abah tidak panjang.

Apa agaknya nasib dan masa depan yang akan menimpa anak kesayangannya itu sekiranya Abah telah tiada.. Adakah insan yang sanggup mencurahkan segala kasih dan cinta terhadap anaknya itu sepertimana yang dia lakukan semasa hayatnya?

Semoga Abang dan keluarganya akan terus bertabah dan tidak menangisi pemergian bapa yang penyayang ini. Mudah-mudahan, jasa dan pengorbanan Abah dalam menjaga Abang akan dibalas dengan balasan syurga kelak. Amin…

Maybe you're interested :

Share

Video Popular