Hakikatnya, penularan wabak COVID-19 di China bukan sahaja menghantui penduduk di sana. Ini kerana, haiwan peliharaan juga turut terkesan dengan situasi sebegini, di mana kebanyakan pemilik mereka ada yang meninggalkan, mengabaikan serta membunuh haiwan peliharaan masing-masing.

Baru-baru ini, seekor anjing baka Golden Retriever, Zai Zai difahamkan telah terperangkap sendirian di sebuah rumah yang terletak di kawasan Panyu, Guangzhou setelah pemiliknya tidak dapat pulang semula ke rumah.

Tuannya dipercayai telah pulang ke kampung halaman di Hubei untuk sambutan Festival Musim Luruh, sebelum dikenakan sekatan perjalanan. Situasi ini meninggalkan Zai Zai dengan masalah kekurangan bekalan makanan dan air. Kasihan!

Mujurlah seorang jiran, Xu, yang tinggal bertentangan dengan rumah pemilik Zai Zai perasan akan situasi tersebut pada 24 Januari lalu. Pada mulanya, Xu menyangka semuanya dalam keadaan yang baik sehinggalah tiga hari kemudian, dia kembali terlihat Zai Zai.

Sina

Pada ketika itu, Xu nampak Zai Zai sedang berbaring pada beranda di tepi tingkat dan anjing tersebut benar-benar kelihatan lapar dan tidak bermaya. Xu lantas beranggapan bahawa Zai Zai ditinggalkan bersendirian di rumah.

Xu kemudian memutuskan untuk memberikan makanan kepada anjing berkenaan, di mana dia difahamkan telah menggunakan sebatang rod penyidai kain. Dia mengikat sosej dan potongan botol air yang diisi dengan air untuk Zai Zai.

Sina

Xu terus menyediakan dan memberi makanan dan minuman kepada Zai Zai untuk enam hari berturut-turut sementara cuba menghubungi tuannya, sebelum mendapat tahu bahawa tuan Zai Zai terperangkap dan tidak dibenarkan keluar daripada kawasan tersebut.

Nasib menyebelahi anjing comel itu apabila tuannya berjaya menghubungi pihak pengurusan hartanah di rumahnya untuk membuka rumahnya lalu menyelamatkan anjing kesayangannya. Kini, Zai Zai ditempatkan di pusat haiwan berdekatan.

Usah risau kerana Zai Zai telah diberikan keperluan makan dan minum serta belaian mesra yang mencukupi, selain bersosial dengan anjing lain di sana. Xu juga sempat berkunjung ke pusat itu untuk melawat selain mengesahkan Zai Zai berada dalam keadaan yang baik.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular