Umum mengetahui berkenaan dengan aspek penjagaan kesihatan yang baik mampu menghindarkan diri kita daripada dijangkiti dengan bakteria dan virus, khususnya koronavirus ataupun COVID-19, bukan? Namun berapa ramaikah yang mempratikkannya?
Ia lebih mudah tersebar di tempat-tempat awam, apatah lagi menerusi sentuhan secara langsung dengan virus berkenaan terutamanya di pemegang tangga-tangga awam, kerusi di dalam gerabak kereta api dan pelbagai lagi.
Oleh yang demikian, demi memastikan keselamatan para penumpang berada di tahap paling maksima ketika negara sedang berhadapan dengan ancaman COVID-19 ini, pihak Rapid KL difahamkan telah menjalankan kerja-kerja pembersihan.
RapidKL/Facebook
Langkah pembersihan dan pembasmian kuman berkenaan dilaporkan telah dilakukan sekerap yang mungkin khasnya untuk tren aliran Kelana Jaya.
Rapid KL/Facebook
Difahamkan tren berkenaan akan dibawa ke depoh untuk kerja pembersihan tersebut setelah tamat waktu operasi. Tempat duduk, pemegang tangan, tiang pemegang, tingkap dan juga lantai akan dibersihkan menggunakan cecair antiseptik.
Rapid KL/Facebook
Ianya dilakukan bagi memastikan agar setiap gerabak tren yang telah digunakan oleh orang ramai sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan keselamatannya terjamin buat para penumpang.
Rapid KL/Facebook
Pengurus Stesen di LRT KL Gateway – Universiti, Shariffudin berkata bahawa pihaknya akan sentiasa memastikan proses pembasmian kuman dijalankan dengan teliti kerana tren tersebut membawa ratusan ribu penumpang pada setiap hari.
Rapid KL/Facebook
Menerusi akaun rasmi Rapid KL di Facebook juga, pihak Rapid KL telah meminta orang ramai yang menggunakan perkhidmatan mereka untuk memberitahu mana-mana gerabak yang perlu pembersihan segera. “Petugas kami sentiasa bersedia di setiap stesen untuk kerja pembersihan”, tulis akaun itu.
Oleh itu, para penumpang juga dinasihatkan untuk sentiasa mengenakan topeng muka dan mencuci tangan dengan sabun secara kerap selain menggunakan cecair pembersih tangan ketika berada di tempat awam sebagai langkah pencegahan.
Maybe you're interested :