Penerbit filem Tamil, PL Thenappan mengumumkan akan menyaman penerbit filem Parasite atas sebab plagiarisme.

Menurut laporan Times of India, filem Parasite dari Korea Selatan arahan Bong Joon-ho yang memenangi 4 Anugerah Akademi termasuk Filem Terbaik baru-baru ini, dikatakan merupakan versi ‘rip-off’ filem Tamil berjudul Minsara Kanna terbitan tahun 1999.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Parasite (@parasitemovie) on

@parasitemovie/Instagram

Parasite mencipta sejarah Anugerah Akademi apabila menjadi filem bahasa asing pertama merangkul Oscar apabila memenangi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Skrip Asal Terbaik, dan Filem Luar Terbaik.

PL Thenappan mengumumkan, “Saya akan memfailkan kes dengan bantuan seorang peguam antarabangsa. Mereka telah mengambil plot filem saya.”

Thenappan juga menambah akan menuntut pampasan daripada pengeluar filem Parasite kerana telah mengambil idea daripada filemnya.

Filem Minsara Kanna, lakonan bintang Tamil popular, Vijay didakwa memiliki persamaan plot dengan filem Parasite selepas peminat Vijay membangkitkannya di media sosial.

@joshmadj/Twitter

Meskipun ramai yang tidak mengambil serius dakwaan kumpulan peminat itu kerana ia mungkin satu kebetulan atau hanya inspirasi, tetapi Thenappan tidak menganggapnya begitu.

Sementara itu, pengarah Minsara Kanna, S. Ravikumar pula menyifatkan adalah menjadi satu kebanggaan buat dirinya apabila kontroversi itu membawa perhatian ke atas filemnya.

Beliau bagaimanapun tidak berniat untuk mengambil apa-apa tindakan.

“Saya gembira kerana filem itu menerima anugerah Oscar, walaupun Minsara Kanna hanya sebagai inspirasi,” kata Ravikumar.

“Tetapi untuk menyaman, itu terserah kepada penerbit,” katanya kepada media.

YouTube/Paparan Skrin

Filem Minsara Kanna, mengisahkan bagaimana Kaasi lakonan Vijay memasuki rumah seorang wanita kaya sebagai pemandu dan membawa ahli keluarganya, seorang demi seorang untuk bekerja di rumah tersebut dengan motif tersembunyi.

Manakala filem Parasite lakonan pelakon tersohor Korea Selatan, Song Kang-ho mengisahkan bagaimana keluarga Kim yang miskin melakukan penipuan dengan menyamar sebagai individu berkelayakan untuk menjadi tutor Bahasa Inggeris, guru seni, pemandu dan pembantu rumah kepada keluarga Park yang kaya.

YouTube/Paparan Skrin

Selain Anugerah Akademi ke-92, Parasite turut menjadi filem Korea Selatan pertama yang memenangi anugerah Palme d’Or di Festival Filem Cannes 2019, serta beberapa anugerah utama di Golden Globe, Screen Actors Guild dan Anugerah Akademi Filem British (BAFTA).

Tonton kedua-dua filem tersebut bagi membolehkan anda membuat penilaian ‘artistik’ sendiri. 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular