Seorang pegawai awam di China telah digantung setelah anak lelakinya mendedahkan di media sosial bahawa bapanya itu menggunakan jaringan politik untuk bebas bergerak ke kawasan yang dikawal ketat di wilayah Hubei.

Ekoran daripada penularan COVID-19 bermula di China pada Disember tahun lalu, maka jaringan jalan raya dan pengangkutan awam di beberapa buah bandar di negara terbabit telah ditutup kepada orang ramai.

Namun, seorang lelaki iaitu He Hao yang juga merupakan anak kepada seorang pegawai awam telah ‘bercakap besar’ dan mendedahkan bahawa bapanya telah menggunakan kuasanya dengan meminta sebuah kereta untuk mengambil anaknya dari Tianman ke Jingzhou.

Menurut laporan yang dikeluarkan daripada kerajaan, bapanya, He Yanfang, merupakan seorang Pengarah Pemasaran di Jabatan Perdagangan Jingzhou.

AFP via Getty Images

He Hao dikenal pasti telah memuat naik satu video di laman sosial yang menunjukkan sebuah kereta melalui sebuah plaza tol di Tianmen walaupun terdapat papan tanda sekatan pengangkutan.

“Saya tidak sangka bapa saya mempunyai kuasa, dia merupakan seorang pegawai dan saya tidak pernah merasai manfaat daripadanya, sehinggalah penularan virus ini”, tulis He Hao.

“Apabila keseluruhan jalan raya ditutup, bapa saya gunakan pengaruhnya dengan menghantar sebuah kereta untuk menjemput saya dari Tianmen untuk ke Jingzhou”.

Kenyataan yang didedahkan oleh lelaki terbabit ternyata telah menggemparkan penduduk tempatan di sana dan orang ramai telah mula mempersoalkan status politikal bapanya serta meminta agar siasatan anti rasuah dijalankan keatasnya.

“Terdapat banyak kisah para jururawat yang mengayuh basikal untuk pulang semula ke Wuhan yang kami dengari, tapi kes ini melibatkan generasi kedua pegawai awam berlagak tentang penyalahgunaan kuasa”, komen seorang pengguna media sosial.

South China Morning Post

He Hao turut menjelaskan bahawa dirinya telah dikuarantin selama 22 hari di Tianman, sebelum bapanya meminta seorang kenalan yang diberi kebenaran untuk membekalkan barangan penting di sana untuk membawa He Hao pulang ke Jingzhou.

Pendedahan yang mendapat perhatian ramai itu kemudiannya telah membuatkan He Hao meminta maaf dan berjanji untuk mematuhi peraturan dan undang-undang selain berhati-hati sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan di masa akan datang.

Dia juga difahamkan telah memadam kesemua kenyataan yang dimuat naik di laman Weibo dan menukarkan nama akaunnya, tetapi ia tidak cukup meredakan kemarahan orang ramai yang sempat menangkap paparan skrin dan terus menyebarkannya.

Hasil laporan siasatan yang dilakukan ke atas bapanya, lelaki itu disahkan telah menggunakan jaringan dan pengaruhnya untuk memanfaatkan kereta yang sepatutnya dijadualkan menghantar bekalan penting, untuk membawa anaknya pulang.

Bertindak balas dengan situasi berkenaan, Suruhanjaya Disiplin dan Pemantauan telah memutuskan untuk menggantung He Yanfang daripada tugasnya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular