MEXICO – Seorang lelaki yang bekerja sebagai badut maut ditembak ketika sedang melindungi seorang ibu dan bayinya dalam satu kejadian rompakan di dalam sebuah restoran baru-baru ini.

Kejadian yang dilaporkan berlaku pada 6 Februari lalu telah meragut nyawa Humberto Rojas Landa, 51 tahun yang turut dikenali sebagai Doctor Cosquillas atau Doctor Tickle. Dalam kejadian berkenaan, seorang saksi memaklumkan bahawa seorang lelaki bersenjatakan sepucuk pistol telah masuk ke dalam restoran yang terletak di Puebla.

Perompak berkenaan dikatakan cuba untuk merompak semua pelanggan di restoran itu. Bagaimanapun, mangsa telah bertindak berani dengan memukul perompak tersebut menggunakan jag air demi melindungi seorang wanita dan juga anaknya. Berang dengan tindakan itu, perompak terbabit telah melepaskan tembakan tepat ke kepala Humberto sebelum melarikan diri daripada tempat kejadian.


Dilaporkan perompak tersebut hanya berjaya mengambil sebuah telefon bimbit daripada salah seorang pelanggan restoran. Susulan kejadian, Humberto segera dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, Humberto berada dalam keadaan yang kritikal dan telah meninggal dunia kira-kira 24 jam selepas kejadian tembakan itu.

Rakaman kamera pengawasan yang memaparkan suspek sedang melarikan diri telah disebarkan namun sehingga kini, suspek masih belum berjaya ditemui.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL INSPIRASI

Video Popular