Kehilangan seseorang yang kita kasihi merupakan satu perasaan yang amat sukar untuk dilalui.

Kesedihan yang mendalam pasti akan melukakan hati sesiapa sahaja yang melalui ujian sebegini.

Paling menyakitkan, kita yang hidup tetap perlu meneruskan kehidupan seperti biasa sedangkan hidup kita sudah berubah serta-merta setelah ketiadaan individu tersayang.

Namun, selari dengan kecanggihan teknologi, seorang ibu yang kehilangan anaknya diberikan peluang untuk melihat, ‘menyentuh’ dan bercakap dengan mendiang anaknya menerusi teknologi Realiti Maya (VR).

Kisah menyentuh hati ini telah ditayangkan dalam sebuah dokumentari khas bertajuk ‘I Met You’ di laman YouTube milik sebuah syarikat televisyen di Korea Selatan iaitu Munhwa Broadcasting Corporation.

Berdasarkan klip video berdurasi 9 minit 38 saat itu, si ibu yang dikenali sebagai Jang Ji-sung telah kematian anak perempuan kesayangannya, Nayeon sekitar tahun 2016. Dikhabarkan kematian anaknya itu berpunca akibat penyakit leukimia.

MBClife/YouTube

Melalui teknologi VR ini, Ji-sung berupaya untuk berkomunikasi dengan anaknya secara maya dan kelihatan menangis sambil berpegangan tangan. Penyebaran video ini meraih simpati orang ramai yang turut meratapi kesedihan yang dilalui oleh ibu muda itu.

MBClife/YouTube

Kedua-dua beranak ini turut dipertemukan dalam satu situasi yang berlatarbelakangkan sebuah taman istimewa yang sangat indah.

Ji-sung menyifatkan pengalaman ini sebagai satu detik terindah dalam hidupnya dan pasti akan dikenang sehingga ke akhir hayat.

“Mungkin ini syurga sebenar. Saya bertemu dengan Nayeon yang memanggil saya dengan senyuman. Pertemuan yang pendek tapi saat yang amat bahagia. Saya rasa saya dapat mencapai impian saya selama ini”.

MBClife/YouTube

Menurut kenyataan media, pihak produksi mengambil masa selama lapan bulan bagi menyiapkan projek khas ini.

Dengan merakam pergerakan sebenar yang dilakukan oleh seorang model kanak-kanak, mereka turut menggabungkan teknologi ‘motion capture’ bagi menampakkan hasil pergerakan yang kelihatan sama seperti manusia.

MBClife/YouTube

Penularan video ini menarik perhatian ramai netizen yang bersimpati dan sebak dengan nasib Ji-sung.

“Sumpah sedih.. Hanya mampu pandang tapi tangan tak dapat sentuh. Kerinduan tak akan pernah terubat selagi tak dapat sentuh dan peluk anak itu”.

“Kalau saya di tempat awak pasti saya pun akan menangis kerana tidak menyangka dapat melihat anak yang telah meninggal dunia dapat bergerak kembali di hadapan kita”.

“Sebak melihat video ini. Saya tahu bagaimana pedihnya kehilangan insan yang tersayang. Semoga wanita ini kuat dan tabah atas kehilangan anaknya”.

MBClife/YouTube

Maybe you're interested :

Share

Video Popular