Berikutan penularan wabak virus korona di seluruh dunia, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini bertindak tegas dengan mengeluarkan amaran untuk semua peniaga agar tidak menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah.

Penetapan lima jenis topeng muka dalam senarai barangan harga terkawal ini adalah dilaksanakan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Bagaimanapun, pihak KPDNHEP, khasnya di Kedah dilaporkan masih lagi menerima aduan daripada orang awam berkenaan penjualan topeng muka dengan harga yang tidak munasabah. Berikutan itu, serbuan dijalankan di sebuah Pasar di Telok Wan, Kedah setelah pegawai penguatkuasa menyamar menjadi pembeli untuk menyiasat kes aduan berkenaan.

Susulan itu, didapati seorang wanita berbangsa Cina telah menjual topeng muka dengan harga setinggi RM140 sekotak walhal harga terkawal yang ditetapkan oleh kerajaan adalah kira-kira RM25 hingga RM30 sekotak (RM0.80 sehelai).

Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Kedah menyatakan bahawa serbuan itu dijalankan pada jam 9:15 pagi pada Ahad lalu setelah menerima aduan daripada orang awam.

“Menurut laporan, wanita Cina itu berkata bahawa terdapat hanya 2 kotak topeng muka sahaja yang tinggal yang bermakna sukar untuk membeli topeng muka pada masa ini. Lain-lain peniaga menjual sekotak topeng muka dengan harga RM250, dan dia hanya menjual dengan harga RM140 sekotak untuk menarik pelanggan. Psikologi pembelian,” tambahnya.

Berikutan itu, pihak penguatkuasa KPDNHEP dilaporkan merampas lebihan dua kotak topeng muka yang tinggal dan wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Jika disabit kesalahan, wanita terbabit “boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali”.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular