Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak keluar dari kereta dan terjatuh di atas Lebuhraya PLUS Ayer Keroh-Senawang arah utara dekat Seremban pada 3.21 petang semalam (11 Februari).

Paidaiah Ramu/Facebook

Kemalangan yang melibatkan sebuah kereta Honda Civic dan dua buah Perodua Myvi bagaimanapun berjaya dirakam dalam kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan lain yang secara kebetulan turut menggunakan lebuhraya yang sama.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Supritendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata kemalangan berkenaan berlaku selepas kenderaan yang dipandu oleh bapa kanak-kanak itu dihimpit oleh sebuah Perodua Myvi yang menukar laluan secara tiba-tiba.

“Siasatan mendapati bapa kanak-kanak itu sedang memandu di lorong laju sebelum dihimpit sebuah Myvi sehingga menyebabkannya hilang kawalan dan terlanggar penghadang besi tengah lebuh raya.

“Kenderaan itu kemudian terbabas dan melanggar pula bahagian sebuah perodua Myvi lain yang bergerak di lorong tengah dan akibat itu, kanak-kanak lelaki itu tercampak keluar di atas lorong laju lebuh raya dan mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada Astro Awani.

Ekoran kemalangan itu, kanak-kanak itu dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Terdahulu, tular di media sosial apabila rakaman kamera papan pemuka berdurasi 1:00 minit yang menunjukkan detik cemas kemalangan berlaku menjadi bualan ramai. Berikutan penularan video berkenaan, pemilik asal kamera papan pemuka tersebut (Alan Chang) tampil membuat penerangan kepada warganet mengenai beberapa isu yang diutarakan seperti tarikh sebenar kemalangan.

“Saya adalah pemilik kamera papan pemuka untuk kejadian semalam. Sila abaikan tarikh kamera papan pemuka berkenaan kerana saya tidak menetapkan tarikh (yang terkini).

Paidaiah Ramu/Facebook

“Kejadian sebenar adalah sebuah Jazz biru yang berlumba dengan Myvi putih. Myvi putih itu kemudiannya memecut ke lorong paling kanan dan kembali ke lorong ketiga dan melanggar (Honda) Civic sehingga menyebabkan budak dalam Civic itu tercampak keluar dari kereta.

“Ini video penuh utk menjelaskan kejadian semalam. Terima kasih,” tulis Alan di laman Facebooknya.

Terbaharu, Harian Metro melaporkan bahawa seorang pemandu lelaki Perodua Myvi putih berusia 20 tahun telahpun ditahan di Batu Berendam, Melaka pada jam 4.50 petang hari yang sama sementara pemandu Honda Jazz biru iaitu lelaki berumur 23 tahun telahpun tampil membuat laporan polis. Kedua-dua individu kini masih lagi dalam tahanan bagi membantu siasatan mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular