- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

New Zealand lepaskan semula udang kara ke laut selepas China batalkan pesanan import susulan wabak koronavirus

NEW ZEALAND – Pihak kerajaan pada 5 Februari lalu mengarahkan kesemua bekalan udang kara yang sepatutnya dieksport ke China, dilepaskan semula ke laut setelah para pengedar di China membatalkan pesanan import.

Pembatalan berkenaan dibuat berikutan dengan penularan wabak koronavirus di China, di mana pemerintah di China mengadakan sekatan terhadap jaringan pengangkutan, perhimpunan awam dan mana-mana acara bagi mencegah penularan wabak itu.

Gambar hiasan/VisualHunt [1]

Difahamkan bahawa sambutan Tahun Baru Cina merupakan waktu puncak bagi permintaan udang kara di negara tembok besar tersebut. Menteri Perikanan New Zealand, Stuart Nash berkata bahawa novel koronavirus merupakan tamparan hebat buat China.

“Jutaan penduduk di sana tidak boleh melakukan rutin harian kerana mereka perlu meminimakan risiko kesihatan dan perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Keputusan ini bermakna udang kara boleh dituai lagi setelah gangguan perdagangan diselesaikan’, jelas Nash.

Berdasarkan keadaan ini, sebanyak 150-180 tan udang kara terpaksa dilepaskan semula ke laut, bergantung kepada keadaan demi mementingkan potensi kesan langkah ini terhadap keselamatan ekologi dan kemampanan.

Kesemua udang kara dalam tangki boleh dikembalikan semula ke laut. Walau bagaimanapun, Jabatan Perikanan akan mencari pasaran baru untuk udang-udang yang telah dihantar ke kemudahan pemprosesan.

New Zealand mempunyai peraturan ketat tentang pelepasan udang kara ke laut dan memerlukan pegawai perikanan untuk memantau proses pelepasan secara teliti bagi memastikan kadar kelangsungan hidup udang kara yang tinggi.

Majlis Penasihat Industri Udang Kara New Zealand, Mark Edwards, dalam satu kenyataan mengatakan bahawa langkah kerajaan untuk mengembalikan udang kara ke laut mencerminkan perbincangan yang membina di jabatan itu.

“Pemberhentian penangkapan udang kara secara tiba-tiba pada minggu lepas telah memberi kesan yang serius kepada nelayan dan syarikat kami”, kata Edwards. Industri udang kara di New Zealand merupakan satu industri yang agak luas – lebih 100 tapak pendaratan komuniti.

Oleh yang demikian, sekatan eksport yang berlaku baru-baru ini menjadikan harga udang kara turun kepada sekitar $80 (RM331) untuk setiap kilogram, berbanding dengan harga pasaran biasa iaitu  $130 (RM538) untuk setiap kilogram.

loading...