Bagi ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata, proses untuk memilih nama anak tidak dapat dinafikan adalah salah satu proses yang sangat menggembirakan. Bagaimanapun, selepas nama anak sudah dipilih dan akhirnya didaftarkan, ibu bapa perlu bersiap sedia untuk terus menggunakan nama yang dipilih buat selamanya.

Gambar hiasan. Kredit: Unsplash

Tetapi, dalam beberapa kes dan alasan tertentu, ada juga pasangan ibu bapa yang mahu ‘memperbetulkan’ semula pilihan nama yang telah dipilih. Seorang ibu di laman Facebook, Puan Diana Hezrique baru-baru ini ada berkongsi cara-cara yang perlu dilakukan oleh mana-mana ibu bapa lain yang berhasrat untuk menukar atau memendekkan nama anak masing-masing.

Diana Hezrique/Facebook

Seperti kes Puan Diana sendiri, beliau menyatakan bahawa sebab paling kukuh yang diberikan untuk memendekkan nama anaknya adalah untuk memudahkan urusan persekolahan anaknya. Jadi, selepas pertukaran, nama anaknya yang pada mulanya merangkumi tiga patah perkataan telah dipendekkan menjadi dua patah perkataan sahaja.

Paling penting, proses pertukaran nama ini hanya boleh dilakukan sebelum anak berusia 12 tahun sahaja.


Menurut Puan Diana, sebelum ibu bapa pergi ke Bahagian Pendaftaran Sijil Lahir di Jabatan Pendaftaran Negara, ibu bapa perlulah melengkapkan salinan cetak dokumen (dan membawa bersama salinan asal) berikut:

  1. Kad pengenalan ibu dan bapa
  2. Sijil kelahiran anak
  3. Salinan MyKid anak
  4. Sijil nikah ibu bapa

Setelah lengkap semua dokumen yang diperlukan, ibu bapa boleh pergi mengambil borang pertukaran nama atau borang potongan nama di bahagian yang dinyatakan.

Selepas borang siap diisi, ibu bapa perlu mendapatkan juga cop pesuruhjaya sumpah di mahkamah atau mana-mana lokasi yang menyediakan perkhidmatan berkenaan. Bagaimanapun, seperti yang dilakukan oleh Puan Diana, beliau telah mengupah seorang Penulis Awam Berlesen di Johor untuk menguruskan segala proses pertukaran nama anaknya.

Setelah semua proses selesai dilakukan, borang yang telah lengkap bolehlah dibawa ke Bahagian Pendaftaran Sijil Lahir bersekali dengan wang pembayaran perkhidmatan seperti yang berikut:

  1. Pendaftaran bagi kanak-kanak dibawah 1 tahun – RM 5.00
  2. Pendaftaran bagi kanak-kanak diatas 2 tahun – RM 50.00

Puan Diana turut mengigatkan kepada para ibu bapa lain yang berhasrat untuk menukar nama anak supaya datang bersama pasangan masing-masing kerana proses pendaftaran ini memerlukan tandatangan kedua ibu bapa kanak-kanak yang ditukar nama.

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman Puan Diana sudahpun mendapat sebanyak 626 perkongsian, 231 reaksi dan 10 komen.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP

Video Popular