Perbuatan memberi makan kepada haiwan jalanan bukanlah suatu perkara yang asing tidak kira di negara manapun. Bagi para pencinta haiwan, lazimnya mereka akan turut sama membawa bekal makanan haiwan untuk diberikan kepada haiwan jalanan yang ditemui.

Bagaimanapun, sebuah kiriman di laman Facebook baru-baru ini mendapat perhatian ramai setelah seorang wanita bernama Sara Liu yang dipercayai menetap di Taiwan memberi peringatan kepada orang ramai untuk berhati-hati dalam memberi makanan kepada haiwan.

Menurut kirimannya yang dimuatnaik pada malam 9 Februari lalu, seekor anjing tidak boleh menghadam makanan yang bertulang.

“Wahai kawan-kawan, tolong elakkan dari memberi makanan bertulang kepada anjing kerana mereka tidak boleh menghadamnya,” tulis Sara memberi peringatan.

Tambah Sara lagi, jika anjing berkenaan tidak menjalani pembedahan untuk mengeluarkan sisa tulang-temulang di dalam perutnya, berkemungkinan besar anjing tersebut akan mati.

Kenyataan daripada Sara ini turut disertakan sekali bersama beberapa keping gambar isi dalaman perut anjing yang penuh dengan tulang-temulang. Kasihan!

Disamping itu, Sara juga sempat melampirkan sekali sekeping gambar bahagian perut anjing tersebut yang sudah membengkak dan berwarna kemerah-merahan, mungkin kerana isi perutnya sudah terlalu penuh dengan tulang-temulang sehingga menyebabkan kesakitan kepadanya.

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telahpun mendapat sebanyak lebih dari 12,000 perkongsian, lebih dari 1,500 reaksi dan 17 komen dari warganet.

“Syukurlah, anjing ini adalah anjing peliharaan. Jika anjing ini adalah anjing jalanan, tiada siapa yang akan membawanya ke dokor… Saya telah mengajar anak murid saya. Anjing tidak boleh diberikan tulang, mereka tidak boleh memakannya. Sangat menakutkan, dan di dalam gambar, terlalu banyak tulang…”

“Sangat menakutkan!”

Oleh itu, selepas ini kita perlu lebih berhati-hati ketika mahu memberi makanan kepada haiwan, termasuklah anjing dan kucing. Kita perlu ingat, kebiasaan yang kita lakukan tidak semestinya betul dan mungkin boleh memudaratkan kesihatan haiwan tersebut.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Uncategorized

Video Popular