Seperti yang ada sedia maklum, terdapat seorang doktor di China yang telah disaman oleh pihak polis selepas mendedahkan kebenaran mengenai situasi wabak koronavirus yang menular di negara terbabit. Li Wenliang juga dilaporkan dijangkiti dengan virus tersebut setelah merawat pesakit.

Namun, pihak Wuhan Central Hospital mengesahkan bahawa doktor berusia 34 tahun terbabit dilaporkan telah meninggal dunia ekoran dijangkiti dengan koronavirus setelah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga minggu.  

Li Wenliang

“Semasa bertarung dengan wabak itu, Li Wenliang, pakar oftalmologi kami dijangkiti. Usaha untuk menyelamatkan nyawanya tidak berhasil. Dia meninggal dunia pada jam 2:58 pagi pada 7 Februari. Kami sangat sedih dengan kematiannya”.

Pada 12 Januari, Li memberitahu menerusi akaun Weibonya bahawa dia didiagnosis positif koronavirus dan pada jam 9:30 malam semalam, jantung Li dilaporkan terhenti sebelum diselamatkan. Namun pada jam 12:38 pagi ini, hospital mendedahkan bahawa Li dalam keadaan yang kritikal.

Li sebelum ini difahamkan telah menghantar mesej kepada kumpulan alumni sekolah perubatan di aplikasi Weibo, yang memberi amaran bahawa Jabatan Oftalmologi di hospitalnya telah menempatkan tujuh orang pesakit yang didiagnosis dengan SARS ke wad isolasi.

Pihak polis kemudiannya memberi amaran dan ‘mewajibkannya’ untuk menandatangani surat pengakuan yang menyatakan bahawa dirinya menyebarkan kenyataan yang tidak benar.

Weibo

“Kami dengan ini sesungguhnya memberi amaran : Jika kamu masih lagi berdegil, dengan erti sedemikian, dan masih lagi meneruskan aktiviti haram ini, kami akan membawa kamu ke muka pengadilan – faham?”, tulis surat tersebut.

Pada awal minggu ini, Li sempat memberitahu The New York Times menerusi mesej mengatakan bahawa pihak berkuasa China seharusnya mendedahkan informasi sebenar tentang wabak ini pada mulanya.

“Jika pihak berkuasa berkongsi maklumat awal tentang wabak ini, saya rasa keadaan akan menjadi jauh lebih baik. Sepatutnya perlu ada keterbukaan dan ketelusan”, tulisnya.

Pada hari Li menghantar mesej di Wechat tentang pesakit yang dimasukkan wad ekoran melawat ke Pasar Huanan, pihak Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Wuhan ada menerbitkan notis tentang sesetengah pesakit yang mengalami radang paru-paru – berkemungkinan daripada pasar tersebut.

Namun suruhanjaya berkenaan memberi amaran agar tiada organisasi atau individu yang dibenarkan untuk mengeluarkan maklumat rawatan yang diberikan kepada orang awam tanpa kebenaran.

“Apabila saya lihat mesej saya itu tular dan disebarkan tanpa kawalan, saya fikir saya akan dihukum”, kata Li. Empat hari kemudian, Li disaman oleh pihak polis dan memberi amaran tentang apa yang dilakukannya adalah salah dan mengganggu ketenteraman awam.

Li walau bagaimanapun tidak ditahan dan dibenarkan pulang ke hospital untuk meneruskan tugasnya. “Saya masih tertanya-tanya mengapa notis rasmi kerajaan masih mengatakan tidak ada transmisi manusia ke manusia, dan tidak ada pekerja penjagaan kesihatan yang dijangkiti”, tulis Li pada 31 Januari di katil hospitalnya.

Untuk lima minggu kebelakangan ini, virus ini telah menjangkiti lebih 28,000 orang dan meragut lebih kurang 565 nyawa, termasuklah Li. Li meninggalkan seorang isteri yang kini sedang mengandung anak kedua dan anak sulung mereka.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular