PUTRAJAYA – Terdapat penambahan dua kes terbaharu jangkitan koronavirus yang membabitkan seorang warganegara Malaysia, menjadikan jumlah kes sebanyak 14 setakat ini.

Perkara berkenaan disahkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media pada hari ini, di mana kes terbaharu tersebut merupakan adik kepada kes pertama rakyat tempatan berusia 41 tahun dari Selangor.

Menurut Dzulkefly, hasil pengesanan yang dilakukan semalam mengesahkan wanita yang berusia 40 tahun itu positif koronavirus, menjadikan jumlah rakyat tempatan yang positif adalah seramai 4 orang.

Wanita berkenaan difahamkan telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, telah bertemu dengan abangnya (kes pertama rakyat Malaysia) semasa sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Dia kemudiannya mengalami demam pada 1 Februari lalu diikuti dengan batuk pada 4 Februari dan kini sedang menjalani rawatan di wad isolasi Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Manakala satu lagi kes difahamkan melibatkan seorang wanita dari Wuhan, menjadikan 10 orang warga China di Malaysia setakat ini yang positif dan dijangkiti koronavirus.

Wanita tersebut difahamkan memasuki negara ini pada 25 Januari lalu bersama ibu dan tiga orang rakannya dari Wuhan.

Dalam pada itu, Dzulkefly sempat menasihati penganut Hindu dan pengunjung sambutan Thaipusam untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan. “Mereka yang sakit dinasihatkan tidak hadir di Batu Caves pada Sabtu ini”, katanya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular