ISTANBUL – Sebuah pesawat Pegasus Airlines dilaporkan tergelincir di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen Istanbul, Turki ketika sedang membuat pendaratan pada 5 Februari lalu, menyebabkan kecederaan kepada lebih 100 penumpang manakala 3 orang lagi maut.

Burak Kara/Getty Images

Menurut Menteri Pengangkutan Turki, Cahit Turhan, pesawat tambang murah tersebut difahamkan membawa sejumlah 183 orang penumpang serta anak kapal dan insiden tersebut menyebabkan pesawat itu pecah kepada tiga bahagian.

Tambah beliau lagi, keadaan itu berlaku berikutan pendaratan secara kasar yang dilakukan oleh pesawat berkenaan sehingga memaksa para penumpangnya menyelamatkan diri menerusi badan pesawat yang pecah.

Fahrettin Koca selaku Menteri Kesihatan pula memberitahu wartawan bahawa sekurang-kurangnya 157 orang telah dimasukkan ke hospital dan tambahnya, tiada mangsa setakat ini yang berada dalam tahap yang kritikal.

Berdasarkan laporan yang didedahkan oleh Kerem Gun iaitu ketua doktor di hospital terbabit, kebanyakan penumpang yang cedera mengalami trauma selain kecederaan pada hidung dan kepala.

Ali Yerlikaya selaku Gabenor Istanbul pula memberitahu bahawa pesawat berkenaan difahamkan tergelincir kira-kira 160 kaki daripada atas landasan yang membawa kepada kegagalan pendaratan.

DHA/Demiroren News Agency (DHA)/AFP via Getty Images

Hujan lebat difahamkan telah turun ketika insiden tersebut berlaku sekaligus menjadikannya faktor utama yang menyumbang kepada insiden berkenaan. Menerusi rakaman audio, juruterbang sudah pun diberi amaran oleh pegawai lapangan terbang tentang angin kencang.

Lapangan terbang berkenaan terpaksa ditutup dan menurut seorang jurucakap lapangan terbang, penerbangan itu dialihkan ke lapangan terbang yang lain.

Sebelum ini pada tahun 2018, pesawat penumpang Pegasus Airlines di Turki turut pernah membuat pendaratan yang tersasar daripada landasan di lereng curam – hanya beberapa kaki daripada Laut Hitam namun tiada penumpang yang mengalami kecederaan.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular