Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada petang 4 Februari (Selasa) dalam sidang media memaklumkan tambahan dua kes baharu bagi virus korona di Malaysia dan kes ini turut melibatkan seorang rakyat Malaysia.

Lelaki berusia 41 tahun dari Selangor itu diumumkan bersama satu lagi kes virus korona yang baharu, yang melibatkan seorang lelaki warga China berusia 63 tahun.

Menurut Dr Dzulkefly, lelaki warganegara Malaysia itu mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura pada 16 sehingga 22 Januari lalu bagi menghadiri mesyuarat bersama delegasi antarabangsa termasuk China.

Bagaimanapun, selepas pulang ke Malaysia pada 23 Januari, lelaki berkenaan didapati mengidap demam dan batuk selama enam hari sebelum akhirnya mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta di Selangor.

“Beliau disahkan positif nCoV-2019 semalam dan pesakit kini berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dr Dzulkefly turut menambah bahawa lelaki warganegara Malaysia itu telahpun dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari lalu dan dimasukkan ke wad pengasingan.

Berikutan itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia kini dilaporkan berusaha untuk mengesan kontak rapat lelaki terbabit sepanjang berada di Malaysia termasuklah ahli keluarganya bagi mengekang penularan wabak berkenaan di Malaysia.

Bagi kes yang melibatkan seorang warga China berusia 63 tahun pula, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa lelaki tersebut tiba di KLIA pada 18 Januari lalu dan berasal dari Wuhan.

“Beliau mula mengalami demam ringan pada 23 Januari 2020 dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Kes telah dimaklumkan kepada KKM dan beliau telah diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan (home surveillance) untuk tempoh 14 hari.

“Pada 2 Februari 2020, demam masih berterusan dan beliau telah dimasukkan ke HKL bagi menerima rawatan lanjut. Ujian makmal positif nCoV-2019 pada 3 Februari 2020,” katanya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular