PUTRAJAYA – Dua rakyat Malaysia yang tiba ke Malaysia setelah berangkat dari Wuhan, China menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) didapati positif virus korona (2019-nCoV). Hal ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang disahkan positif di Malaysia sebanyak 12 orang.

TheStarOnline/YouTube

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dua kes terkini itu membabitkan seorang lelaki berusia 45 tahun dan anaknya yang berusia sembilan tahun. Kedua-duanya adalah rakyat Malaysia yang kini sedang ditempatkan di wad isolasi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagi mendapatkan rawatan.

“Kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang gejala koronavirus ketika dibawa pulang dan disahkan positif di Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai di Negeri Sembilan”.

Ketika ditanya mengenai penerbangan khas dari Wuhan yang membawa seramai 107 individu, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa daripada jumlah berkenaan, 88 daripadanya merupakan warga Malaysia dan 19 ahli keluarga bukan warganegara.

Sebaik sahaja tiba di Unit Kecemasan Udara (ADU) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kesemua penumpang dibawa untuk menjalani pemeriksaan. Bagaimanapun, kedua-dua beranak itu disahkan positif koronavirus menerusi ujian sampel calitan tekak.

TheStarOnline/YouTube

“Kami tidak boleh terlepas satu atau dua individu. Kita akan mengendalikan perkara ini dengan teliti. Mereka akan dipantau selama 14 hari,” jelas Dr Dzulkefly mengenai risiko penumpang lain turut dijangkiti virus berbahaya itu.

Daripada jumlah keseluruhan 12 kes, tiga daripada melibatkan warga Malaysia manakala selebihnya adalah warga China. Pada masa yang sama, lima kes adalah dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI), lima kes lagi merupakan kontak rapat dan dua kes merupakan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular