BATU PAHAT – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang juga merupakan pelajar sebuah kolej swasta telah ditahan ekoran menyamar sebagai polis ketika satu operasi trafik yang dijalankan di Parit Raja sekitar jam 2.45 pagi pada 2 Februari lalu.

Menurut Supt Muhammad Izzudin Runggai selaku Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, remaja lelaki berkenaan ditahan setelah menunjukkan kad pengenalan diri palsu kepada anggota dan pegawai daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Batu Pahat.

Pelajar berkenaan turut memperkenalkan dirinya sebagai pegawai berpangkat inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang sedang memantau penugasan polis di Batu Pahat.

Ragu-ragu dengan dakwaannya, anggota bertugas terus melakukan pemeriksaan dan mendapati terdapat sepucuk pistol palsu dan sekeping gambar berukuran pasport pada remaja terbabit yang turut lengkap berpakaian seragam polis.

Selain itu, turut ditemukan beberapa aksesori seragam serta peralatan kerja seorang pegawai polis seperti topi, jaket kalis peluru, kunci gari, lampu suluh serta pisau. Berdasarkan siasatan, kesemua aksesori berkenaan dibeli secara dalam talian beberapa bulan lalu.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam, Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki pistol tiruan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis”, jelas Izzudin.

“Jika sabit kesalahan, remaja itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun dan denda sehingga RM5,000”. Kini pelajar terbabit telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular