BEIJING – Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar China melaporkan tentang penularan wabak selesema burung H5N1 yang mengandungi patogen (kuman) di sebuah ladang penternakan di bandar Shaoyang, Selatan wilayah Hunan.

Menurut laporan, kes berkenaan melibatkan sejumlah 7,850 ekor ayam, di mana 4,500 ekor daripadanya telah pun mati ekoran dijangkiti wabak selesema tersebut.

Susulan daripada wabak H5N1 itu, pihak berkuasa tempatan didapati telah menghapuskan 17,828 ekor ayam bagi mencegah wabak berkenaan daripada terus menular.

Bandar Shaoyang terletak kira-kira 547 kilometer atau enam jam dari Wuhan, Hubei, yang menjadi lokasi wabak novel koronavirus muncul buat pertama kalinya, dan ianya telah mengorbankan lebih 300 nyawa selain menjangkiti sekitar 12,000 orang.

Virus selsema burung H5N1 atau selsema burung, menyebabkan masalah pernafasan yang teruk pada burung dan ayam. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan daripada haiwan kepada manusia adalah sukar namun tidak mustahil berlaku.

Menurut pakar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), wabak selesema burung yang melanda China pada tahun 2013 telah mengakibatkan kerugian khasnya dalam aspek ekonomi sebanyak $6.5 bilion.

Terdahulu di India, pihak berkuasa telah pun memulakan proses memusnahkan ayam dan telur yang didapati telah dijangkiti dengan wabak selesema burung terbabit. Namun, tiada kes jangkitan ke atas manusia dilaporkan buat masa ini.

Wabak H5N1 tersebut bermula ketika pihak berkuasa China terus giat dalam usaha untuk menyekat dan memerangi penyebaran koronavirus yang melanda di sana.

Pegawai tinggi Parti Komunis China di Wuhan sebelum ini menyatakan penyesalannya berikutan tindak balas yang agak lewat daripada pihak berkuasa tempatan.

Walaupun WHO telah mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan global, namun ia tidak mengesyorkan sebarang sekatan perdagangan atau perjalanan antarabangsa dengan China.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular