Apabila wabak koronavirus melanda China pada tahap membimbangkan, tindakan rejim komunis China dalam menangani perkara-perkara kritikal mengenai penyebaran virus kini sudah menjadi lebih jelas.

Wabak novel coronavirus yang pertama disahkan oleh pihak berkuasa China adalah pada 31 Disember, seminggu selepas pesakit pertama didiagnos dan kini telah tersebar ke semua wilayah di China. 

Di luar China, wabak koronavirus telah menular ke Hong Kong, Macau, Taiwan, dan 14 negara lain di seluruh dunia dengan jangkitan virus mampu membawa maut jika tidak dicegah dan ditangani segera.

YouTube/Paparan Skrin

Kenyataan daripada para doktor, pemberi maklumat, dan pegawai kerajaan menunjukkan budaya penutupan dan penipuan di kalangan birokrasi Parti Komunis China menyumbang kepada penyebaran penyakit itu.

Bagi mengelak kesalahan politik, pihak berkuasa tidak mendedahkan tentang penyakit itu dan skala sebenar penularan wabak kepada warga China.

Maklumat mengenai pesakit yang mendapat jangkitan pertama di pusat penyakit Wuhan telah diabaikan, sementara pihak berkuasa mengehadkan ujian tentang penyakit itu, dengan secara efektif telah menyekat jumlah warganya yang terjejas untuk mendapatkan diagnosis.

Akibatnya, ramai kalangan rakyat yang tidak sedar mereka telah dijangkiti virus sehingga masa mendapatkan rawatan untuk penyembuhan sudah menjadi terlambat.

Seorang penduduk Beijing dan Naib Presiden Trine Solar, sebuah firma tenaga solar bernama Yang Jun contohnya, mula merasa tidak sihat dan menunjukkan tanda-tanda mengalami pneumonia pada 15 Januari selepas pulang dari Wuhan, menurut satu laporan akhbar Beijing Daily.

Yang Jun kurang arif tentang betapa seriusnya penyakit itu. Jadi, dia tidak memakai topeng muka ketika berada di luar rumah. Pada masa itu, pihak berkuasa China mengatakan tiada bukti jelas bahawa virus itu mampu dipindahkan antara manusia ke manusia.

Pada 20 Januari, Yang Jun mengambil bahagian dalam pertemuan ibu bapa di sekolah anaknya di Beijing. Mesyuarat itu dihadiri oleh lebih 600 orang ibu bapa. Yang Jun semakin tidak sihat dan didiagnos dengan penyakit koronavirus pada 22 Januari.

Lima hari kemudian, Yang Jun meninggal dunia di usia 50 tahun. Anak perempuannya yang merupakan pelajar sekolah menengah juga telah didiagnos dengan koronavirus.

YouTube/Paparan Skrin

Data salah

Pada 24 Januari, jurnal perubatan The Lancet menerbitkan satu kajian mengenai ciri klinikal daripada 41 pesakit pertama yang menerima jangkitan virus koronavirus baru di Wuhan, ibu kota wilayah Hubei. 

Kajian itu dilakukan oleh sekumpulan 29 doktor dari Beijing, Wuhan, dan kawasan lain di China dan data dikumpulkan dari hospital Wuhan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Negara China (CDC).

Maklumat itu menunjukkan perbezaan data dengan apa yang dinyatakan oleh pihak berkuasa kesihatan Wuhan di awal penularan wabak.

Dalam laporan awal yang mengesahkan kehadiran wabak virus baru, Suruhanjaya Kesihatan Wuhan pada mulanya mengatakan bahawa pesakit pertama menunjukkan simptom pada 12 Disember 2019. 

Suruhanjaya itu kemudiannya mengkaji semula dengan meletak tarikh hingga 8 Disember tanpa memberi penjelasan. Tetapi kajian The Lancet menyatakan, ‘tarikh permulaan simptom pesakit pertama yang dikenal pasti adalah pada 1 Disember.’

Pihak berkuasa Wuhan juga mendakwa kebanyakan daripada 41 pesakit awal adalah warga tua yang sudah sedia ada mempunyai masalah kesihatan lain.

Kajian menunjukkan bahawa purata usia pesakit adalah 49 tahun, dan ‘kurang daripada separuh mempunyai penyakit asas iaitu 13, termasuk diabetes (8), hipertensi (6), dan penyakit kardiovaskular (6)’.

Pihak berkuasa China pada mulanya menafikan bahawa penyakit itu boleh menular dan dipindahkan antara manusia ke manusia.

Pada 20 Januari, Zhong Nanshan, seorang pakar respiratori terkemuka yang bekerja untuk kerajaan pusat secara rasmi mengumumkan dalam sidang akhbar di Beijing bahawa penyakit ini telah tersebar menerusi transmisi atau bawaan manusia ke manusia.

Tetapi kajian The Lancet mendedahkan bahawa penyebaran bawaan penyakit antara manusia ke manusia pertama yang diketahui telah berlaku lebih awal.

Pesakit pertama yang meninggal dunia akibat virus itu telah didedahkan pada 9 Januari. Dia mempunyai ‘pendedahan berterusan’ di pasar makanan laut dan daging segar di Wuhan yang dikatakan oleh pihak berkuasa Wuhan adalah sumber kemungkinan bermulanya wabak tersebut.

Menurut laporan kajian itu, lima hari selepas ‘mangsa pertama’ menunjukkan tanda-tanda koronavirus, isterinya yang berusia 53 tahun dan tidak mempunyai sejarah pendedahan berada di pasar itu, turut dijangkiti pneumonia dan dimasukkan ke wad pengasingan. 

Wanita ini kemudian didiagnos dengan koronavirus. Oleh itu, virus tersebut sudah tentu menjangkiti isteri lelaki tersebut sebelum 9 Januari.

YouTube/Paparan Skrin

Penyembunyian fakta

Pada 28 Januari, Ketua Parti Wuhan, Ma Guoqiang, membuat pendedahan mengejutkan.

Dalam satu sidang akhbar, Setiausaha Parti Komunis China (CCP) Ma mengatakan bahawa kerajaan pusat tidak membenarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Negara China (CDC) Hubei untuk mendiagnos penyakit itu sehingga 16 Januari.

Kata Ma Guoqiang, sebelum ini, sampel pesakit terpaksa dihantar ke Beijing kerana CDC Hubei hanya mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menjalankan kira-kira 300 ujian kesihatan setiap hari.

Pada 24 Januari, Beijing akhirnya membenarkan sembilan hospital di Wuhan dan CDC bandar itu untuk menjalankan diagnosis. Semua organisasi ini mempunyai pensijilan sebelumnya, tetapi tidak dibenarkan melakukan diagnosis.

Datuk Bandar Wuhan, Zhou Xianwang pula menyalahkan orang-orang yang lebih tinggi kerana salah tadbir urus menangani krisis.

Semasa program berita yang disiarkan di CCTV pada 27 Januari, Zhou berkata bahawa kerajaan pusat membuat keputusan untuk menahan maklumat mengenai wabak tersebut.

Beliau berkata pentadbirannya juga tidak menerbitkan maklumat tepat pada waktunya, dan gagal memuat naik informasi mengenai virus dengan betul.

“Pendedahan tentang wabak tidak tepat pada masanya. Sebagai ketua kerajaan tempatan, saya hanya boleh menerbitkan maklumat selepas saya mendapat kebenaran daripada kerajaan pusat,” kata Zhou dalam temu bual itu.

YouTube/Paparan Skrin

Manipulasi data

Seorang wartawan bebas di China yang berpangkalan di Los Angeles, Long Can berkongsi satu paparan skrin posting media sosial yang ditulis oleh Meng Xin tetapi telah dihapuskan.

Meng Xin merupakan seorang penyelidik di Institut Kawalan Penyakit dan Pencegahan Virus Kebangsaan di Beijing.

Meng Xin berkata dia dan rakannya menerima sampel bio dari Wuhan pada 2 Januari dan berjaya memisahkan virus itu pada 7 Januari.

“Kami bekerja keras siang dan malam. Dalam masa satu minggu, kami memisahkan virus dan memperolehi urutan genom. Dalam masa dua minggu seterusnya, kami membangunkan kit diagnosis dan mengedarkannya ke setiap CDC wilayah,” katanya.

YouTube/Paparan Skrin

“Walau bagaimanapun, Wuhan terus melaporkan tiada kes baru,” kata Meng Xin.

Meng Xin mendakwa pegawai kerajaan menahan maklumat untuk mengekalkan ilusi keselamatan dan sekuriti.

“Institut kami menjalankan mesyuarat semua kakitangan pada 19 Januari. Pengarah Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China Ma Xiaowei memberi kami arahan bahawa ‘politik adalah keutamaan pertama, kedua adalah keselamatan dan keutamaan ketiga adalah sains,” kata Meng Xi.

Sebuah laman sesawang di China baru-baru ini telah mendedahkan satu surat yang bocor daripada seorang doktor yang bekerja di hospital ternama di Wuhan. Surat itu yang dialamatkan kepada Ma pada asalnya telah menghantar posting dalam ruangan mesej dalaman di laman sesawang CDC China.

Doktor itu menulis sejak 12 Januari, sejumlah besar pesakit pneumonia telah melawat hospital dengan luahan peribadinya, “Jangkitan pada paru-paru mereka tidak normal. Kami amat mengesyaki bahawa ia adalah novel coronavirus.”

Tetapi Suruhanjaya Kesihatan Wuhan tidak melaporkan sebarang kes terbaru yang disahkan antara 12 Januari hingga 16 Januari.

Doktor itu berkata hasil imbasan CT pesakit menunjukkan jangkitan yang selaras dengan gejala novel coronavirus, tetapi ‘pengurus kami tidak membenarkan kami memberikan laporan diagnosis koronavirus kepada pesakit’.

YouTube/Paparan Skrin

Doktor itu turut berkata ramai pesakit yang tidak didiagnos dengan sempurna bergerak bebas di sekitar Wuhan tanpa memakai topeng muka. Malah kakitangan perubatan yang bekerja di jabatan-jabatan lain di hospital enggan memakai topeng muka sebelum bandar itu dikuarantin pada 23 Januari.

Seorang orang dalam memberitahu The Epoch Times pada 24 Januari bahawa CDC China memanipulasi jumlah kes yang disahkan dengan mengawal bilangan kit diagnosis yang diperuntukkan untuk hospital.

Orang dalam itu yang bekerja di sebuah organisasi yang dilesenkan untuk mengeluarkan kit diagnosis di hospital, mendedahkan hanya ‘hospital yang layak dan tertentu’ boleh mendapatkannya dan jumlah kit yang dibekalkan adalah kurang daripada 10% daripada apa yang mereka perlukan untuk menguji pesakit.

“Ini menjelaskan mengapa tiba-tiba China melaporkan lebih daripada 100 kes baru yang disahkan dalam jangka masa beberapa hari. Mereka memanipulasi jumlah yang selaras. Jumlah sebenar pesakit yang dijangkiti jauh lebih tinggi,” katanya.

Syarikat Zhongyuan Huadian Tech dari Wuhan pula telah menghantar surat terbuka kepada kerajaan tempatan Wuhan pada 22 Januari di mana Hospital Tongji enggan merawat pekerjanya yang bernama Zhang Xin dan bapanya yang dijangkiti koronavirus. 

Syarikat itu memetik respon hospital yang berkata, “Kami tidak mempunyai kit diagnosis dan kami tidak menerima pesakit yang tidak disahkan melalui diagnosis.”

YouTube/Paparan Skrin

Media bebas China, Significant People pula melaporkan pada 24 Januari bahawa Hospital Wuhan Pertama, Hospital Wuhan No. 6, Hospital Palang Merah Wuhan dan Hospital Pulmonari Wuhan ditetapkan sebagai hospital untuk merawat koronavirus, tetapi mereka semua menolak pesakit akibat bekalan kit diagnosis yang tidak mencukupi.

Laporan tersebut memetik beberapa pegawai kesihatan Wuhan mengatakan bahawa hanya Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Negara China (CDC) akan memutus dan menentukan peruntukan bekalan kit diagnosis untuk setiap hospital.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular