KUALA LUMPUR – Seramai 14 rakyat China yang berasal dari Wuhan telah dihantar pulang selepas tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Januari lalu.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tindakan berkenaan diambil selepas kerajaan mengisytiharkan larangan bagi pelancong yang berasal dari Wuhan dan Hubei daripada masuk ke negara ini bagi mencegah jangkitan novel koronavirus.

Hasil semakan yang dilakukan petugas imigresen di KLIA mendapati terdapat 14 individu berasal dari Wuhan, China. Justeru, pihak imigresen mengeluarkan notis ‘Not To Land’ kepada semua individu tersebut dan seterusnya dihantar pulang.

“Berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP), pengunjung dari Wuhan dan Hubei tidak dibenarkan masuk melalui semua pintu masuk sempadan di negara ini”, jelasnya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Muhyiddin berkata langkah keselamatan di sempadan negara juga diperketatkan memandangkan Malaysia mempunyai jaluran sempadan yang luas. “Kita banyak berdepan dengan kemasukan pelancong dari luar negara di setiap pintu sempadan, mereka yang masuk akan melalui pemeriksaan (kesihatan)”.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan berita dan memutarbelitkan fakta mengenai penularan virus berkenaan khasnya di media sosial.

“Saya dimaklumkan terdapat tujuh kes penyebaran berita palsu berkaitan virus berkenaan diambil tindakan oleh pihak polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)”.

“Masyarakat harus faham dalam situasi agak kritikal seperti ini, jangan main-main dengan berita palsu kerana tindakan sedemikian boleh mencetuskan rasa panik dan takut dalam kalangan masyarakat,” akhirinya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular