Tony Liu Jintao merupakan graduan dari Universiti Petroleum China yang ditahan di dalam Pusat Tahanan Buruh dan Pendidikan Semula di Beijing pada tahun 2007.

Seorang banduan bergegas masuk dari luar setelah mendengar perintah pengawal penjara, “Jangan rosakkan organnya!”.

Dalam temu bualnya bersama The Epoch Times, Liu Jintao berkata dia terkejut mendengar perintah tersebut kerana banduan itu yang merupakan seorang penagih dadah sedang memukul belakang dan pinggangnya.

“Saya berasa aneh mengapa orang-orang ini yang tidak pun peduli dengan kesejahteraan saya tetapi mengambil berat dengan organ-organ saya,” jelas saksi berusia 39 tahun ini kepada Tribunal Bebas Penuaian Organ Secara Paksa ke atas Tahanan Politik dan Kepercayaan di China, atau dikenali sebagai Tribunal China.

The Epoch Times

Sebelum Tony Liu ditangkap, dia sedia maklum dan ada mendengar dakwaan pengambilan organ secara paksa sedang berlaku di China. Walau bagaimanapun, dia memilih untuk tidak mempercayainya.

“Saya memilih untuk tidak mempercayainya. Tetapi kini ia sangat jelas. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa perkara ini berlaku di China secara besar-besaran, ” kata Tony Liu.

Pada satu hari yang lain, Tony Liu mendengar penagih dadah memberitahu penagih dadah yang lain, “Suami wanita dari Beijing itu (yang merupakan seorang pengamal Falun Gong) telah hilang selepas ditangkap.”

Tony Liu juga seorang pengamal Falun Gong dan mengamalkan disiplin kerohanian kuno tersebut yang mana ia menjadi sebab mengapa dia ditangkap dan dipenjarakan.

Falun Gong, juga dikenali sebagai Falun Dafa adalah amalan kultivasi minda, kesihatan tubuh badan dan kerohanian. Individu yang mengikuti amalan ini menjalani kehidupan harmoni dengan mengikuti prinsip Sejati, Baik, Sabar. 

Minghui/The Epoch Times

Pada bulan Julai 1999, 7 tahun selepas amalan itu diperkenalkan di China, Parti Komunis China (CCP) melancarkan kempen penganiayaan kejam ke atas pengikut Falun Gong selepas mendapati bilangan mereka semakin meningkat kepada sekurang-kurangnya 70 juta. Sejak itu, puluhan ribu pengamal Falun Gong di China telah ditangkap, dipenjarakan dan diseksa.

Tony Liu Jintao yang mula berlatih dan mengamalkan Falun Gong pada bulan Ogos 1997 adalah salah seorang daripada mereka.

Pada bulan November 2006, ketika Tony Liu menyambung pengajian Sarjana di Universiti Petroleum China di Beijing, sekumpulan pegawai polis telah menangkapnya semasa dia sedang berada di dalam bilik kuliah.

“Mereka menolak saya ke kerusi dan mula mencari komputer saya, di mana mereka menemui beberapa bahan Falun Gong,” katanya kepada 10 Daily.

“Saya bertanya kepada mereka mengapa mahu menangkap saya dan di mana waran tangkap dan waran geledah? Kemudian salah seorang pegawai polis mengeluarkan sehelai kertas dan meletakkannya di hadapan saya dan berkata, ‘Ini adalah waran yang membenarkan penangkapan anda’,” kata Tony Liu kepada Tribunal China.

Tony Liu telah ditahan dan kemudian dipindahkan ke Kelas Pendidikan Semula Changping di Beijing di mana dia berkata dirinya terpaksa menonton video yang memfitnah Falun Gong. Walau bagaimanapun, ini hanya langkah permulaan kepada penganiayaan lebih teruk yang akan mendatang.

Selepas Tony Liu dipindahkan ke Pusat Pendidikan Semula dan Penghantaran Tenaga Buruh Tuahhe di Beijing, dan kemudian ke Kem Buruh dan Pendidikan Semula Tuahhe di Beijing, dia telah diseksa dengan cara kekerasan melampau serta mengerikan.

Minghui/The Epoch Times

Tony Liu Jintao memberi keterangannya kepada Tribunal China dengan berkata dia dibiarkan berada dalam kelaparan, dipukul, direnjat dengan baton elektrik, dihalang tidur, dipaksa makan dengan tiub yang dicampur air kencing, dan mereka menyumbat najisnya sendiri yang dimasukkan ke dalam mulut. 

Tambahnya kepada tribunal, banduan lain melucutkan pakaiannya dan memasukkan pemegang berus tandas ke dalam duburnya.

Kaedah penyeksaan yang kejam tersebut telah digunakan untuk memaksa Liu melepaskan kepercayaannya terhadap Falun Gong, yang mana dia berkeras enggan menurutinya.

Selain melalui penyeksaan, pihak berkuasa juga mengambil sampel darah Tony Liu dan pengamal lain. Mereka juga melakukan pemeriksaan imbasan sinar-X ke atas semua tahanan Falun Gong.

“Mereka lakukan imbasan sinar- X ke atas badan saya. Setahun kemudian, mereka melakukan satu lagi pemeriksaan imbasan sinar-X ke atas saya, dan mengambil lebih banyak darah,” Tony Liu mendedahkan kepada The Sydney Morning Herald.

The Epoch Times

Walau bagaimanapun, pengamal Falun Gong ini tidak pernah dimaklumkan tentang keputusan ujian dan tujuannya, yang mana telah menimbulkan syak wasangka Liu bahawa ujian itu dikaitkan dengan penuaian organ.

Walaupun firasat dan rasa hati Tony Liu itu dikatakan tidak berasas, laporan yang bertajuk “ Bloody Harvest / The Slaughter : An Update ” oleh David Kilgour, bekas Setiausaha Negara Kanada (Asia-Pasifik), Ethan Gutmann, Penama Hadiah Nobel Keamanan, dan David Matas, peguam hak asasi manusia pada tahun 2016 telah membuktikannya.

Laporan tersebut menyatakan bahawa pengamal Falun Gong ‘sering menjalani ujian darah dan pemeriksaan kesihatan sementara tahanan lain (kecuali etnik Uighur, Tibet, dan kumpulan Kristian tempatan tertentu yang juga disasarkan) tidak menerima rawatan sedemikian’.

“Kesimpulan terakhir mengenai kemas kini laporan ini dan sememangnya tugas kami adalah China telah terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai ke atas tahanan politik dan kepercayaan, terutamanya pengamal latihan rohani Falun Gong termasuk etnik Uighur, Tibet, dan penganut Kristian tempatan dalam bentuk mendapatkan organ bagi tujuan pemindahan,” kata David Matas.

Pada bulan November 2007, Tony Liu menandatangani satu kenyataan untuk melepaskan kepercayaannya selepas dia tidak lagi dapat menanggung penyeksaan yang kejam. Tony Liu melarikan diri ke Australia selepas dibebaskan pada tahun 2013 bersama isterinya dan memohon suaka.

The Epoch Times

Selepas berjaya melarikan diri daripada menjadi mangsa penuaian organ secara paksa, Tony Liu kini menjadi jurucakap bagi para pengamal Falun Gong yang masih ditahan di China dan sedang berhadapan dengan nasib sama seperti mana yang pernah dialaminya.

“Dunia benar-benar berbeza di Australia. Saya bebas bercakap tentang kebenaran dan penganiayaan yang sedang berlaku. Ramai pengamal Falun Gong masih diseksa di China. Saya berharap masyarakat antarabangsa dapat membantu menghentikannya dan membawa pembunuh ke muka pengadilan,” katanya dalam satu perhimpunan yang diadakan di hadapan Parlimen Australia di Canberra pada tahun 2013. 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular