WUHAN – Seorang jururawat berusia 30 tahun yang bekerja di Hospital Renmin di Universiti Wuhan telah mencukur keseluruhan rambutnya bagi memudahkan kerja beliau dalam merawat pesakit yang dijangkiti novel virus korona.

Jururawat berkenaan, Shan Xia, yang juga merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata difahamkan telah memutuskan untuk mencukur kesemua rambutnya ekoran mahu menjimatkan masa ketika memakai ataupun menanggalkan sut perlindungan.

Menurut akaun Weibo, Shan Xia menulis bahawa rambut boleh tumbuh semula. Apa yang paling utama adalah untuk melindungi diri selain cuba menyelamatkan sebanyak nyawa yang mungkin.

Menurut sebuah laporan, semenjak daripada itu, terdapat banyak jururawat wanita lain yang turut mengikuti jejak langkah Shan Xia – iaitu dengan membotakkan kepala mereka sepenuhnya.

Dalam pada itu, seorang lagi jururawat dari Hospital Tongde di wilayah Zhejiang turut meminta rakannya yang lain untuk turut membotakkan kepala. Keputusan itu dibuat adalah untuk mengurangkan masa penjagaan rambut selain memudahkan urusan kerja.

Selain daripada itu, ketua jururawat Jabatan Pernafasan di Hospital Hangzhou, Wu Chunyan juga memutuskan untuk melakukan perkara yang sama terhadap jururawat di hospital berkenaan. “Ia adalah penting demi menyelamatkan orang lain”, katanya.

Menurut pengumuman terbaru yang dibuat oleh Suruhanjaya Kesihatan Nasional, seramai 959 anggota perubatan telah ditugaskan di Wuhan yang menjadi lokasi pertama virus tersebut dikesan.

Manakala sebanyak 7 buah kumpulan dihantar ke Beijing, Hebei, Shanghai, Henan, Hunan, Guangdong dan Sichuan untuk tujuan menyelia operasi sistem pentadbiran dan mengawal penyebaran virus korona berkenaan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL INSPIRASI

Video Popular