WUHAN: kerajaan China mengesahkan angka korban akibat wabak koronavirus meningkat kepada 80 mangsa setakat awal pagi ini dan kes jangkitan koronavirus pula meningkat kepada 2,400.

Memetik laporan South China Morning Post berkata, terdapat lima lagi kes jangkitan terbaharu termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan di Beijing manakala seorang kanak-kanak berusia dua tahun juga terima nasib sama di Guangxi.

Setakat ini seramai 2,700 kes disyaki koronavirus di bandar Wuhan.

Virus itu dipercayai berpunca dari Pasar Makanan Laut Wuhan yang turut menjalankan perdagangan haram hidupan liar, dan merebak ke Beijing serta Shanghai selain ke Amerika Syarikat (AS), Thailand, Korea Selatan, Jepun, Australia, Perancis dan Kanada.

Wabak itu turut mengakibatkan gangguan pergerakan di China terutama di Wuhan, iaitu bandar mempunyai kira-kira 11 juta penduduk, berikutan dikenakan larangan perjalanan.

Datuk Bandar Wuhan, Zhou Xianwang berkata, sehingga 26 Januari seramai lima juta penduduk di bandar itu meninggalkan kawasan tersebut.

Penularan wabak itu dari awal lagi menjejaskan sambutan Tahun Baharu Cina ratusan juta pelancong dari China dan negara luar selain mengakibatkan banyak acara awam dibatalkan serta tarikan pelancongan ditutup.

Menteri yang bertanggunjawab bagi Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC) China, Ma Xiaowei berkata, memerangi wabak tersebut adalah sesuatu yang sangat sukar memandangkan virus berkenaan boleh tersebar walaupun dalam tempoh inkubasi.

“Seramai 2,360 doktor dan jururawat ketenteraan dihantar ke Wuhan untuk membantu merawat pesakit.

“Keadaan bertambah kritikal apabila bekalan tidak mencukupi sehingga pengamal perubatan yang merawat pesakit Koronavirus terpaksa menggunakan semula topeng muka yang dipakai,” kata Ma.

Dalam masa sama katanya, sebanyak 2,400 katil telah ditambah di hospital dan kerajaan merancang untuk menambah lebih 5,000 lagi katil dalam tempoh tiga hari akan datang.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular