Berikutan dengan penularan virus korona di beberapa buah negara baru-baru ini termasuklah di Malaysia, masyarakat dunia nampaknya kini menumpukan perhatian terhadap pemakaian topeng muka dengan cara yang betul.

Ia amat penting kerana pemakaian yang betul berupaya untuk melindungi diri daripada dijangkiti memandangkan topeng muka mampu menghalang partikel sebanyak 60-70%.

Namun jika anda memakainya dengan cara yang kurang tepat, keberkesanannya dalam menghalang partikel halus daripada memasuki sistem pernafasan adalah kurang daripada 10%, iaitu sama seperti tidak memakai topeng muka!

Oleh yang demikian, seorang pengguna Twitter dengan nama akaun @ByJasonNg berkongsi satu video ringkas yang menunjukkan cara-cara yang betul untuk memakai topeng muka, yang mungkin boleh memanfaatkan kita semua.

Berdasarkan video ringkas yang turut dilampirkan bersama, kaedah pemakaian topeng muka itu sebenarnya disarankan oleh pihak World Health Organizaton Collaborating Centre menerusi wakilnya, Seto Wing Hong.

Sudah pasti setiap individu perlu dilengkapi atau memiliki peralatan perlindungan (topeng muka) yang betul, di mana sebelah topeng muka itu bewarna biru manakala sebelah lagi bewarna putih.

Menurutnya, sebelah warna biru berkenaan perlu dipakai pada bahagian luar memandangkan ianya kalis daripada air. Bahagian putih pula dipakai pada bahagian dalam (yang menutupi hidung dan mulut) ekoran sifatnya yang menyerap.

“Jadi, jika saya batuk, ia akan diserap masuk kembali (tidak tersebar kepada orang lain). Cara yang betul adalah bahagian biru di luar, putih di dalam. jika anda terlihat seseorang memakainya secara terbalik, maka ianya salah”, jelas Seto.

@ByJasonNg/Twitter

Jika diamati pada topeng muka, akan terdapat satu lapisan yang sedikit keras dan boleh dibentukkan. “Anda harus meletakkan ianya di atas hidung”, jelasnya lagi. Pastikan ianya dibentukkan mengikut bentuk hidung anda.

Selain itu, pastikan topeng muka itu ditarik pada bahagian bawah sehingga ia menutupi dagu. Apa yang penting, pastikan bahagian keseluruhan hidung ditutupi dengan betul.

Bukan itu sahaja, Seto turut menekankan terhadap proses menanggalkan topeng muka setelah digunakan. Ianya juga agak penting di mana anda perlu mengelakkan daripada memegang pada bahagian topeng tersebut.

“Ini kerana, sekali anda memakai topeng tersebut, ia sudah pun kotor. Jadi, ketika anda mahu menanggalkannya, pastikan jangan menyentuh pada topeng”, jelas Seto. Memadai hanya memegang pada tali topeng itu sahaja.

Topeng yang telah digunakan juga hendaklah terus dibuang ke dalam tong sampah setelah sekali penggunaan sahaja, ya? Jangan berulang kali pula gunakan topeng muka yang sama. Diharapkan agar perkongsian ini dapat memanfaatkan kita semua.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular