KUALA LUMPUR: Beberapa pihak tidak bertanggungjawab didakwa sedang mengambil kesempatan atas kebimbangan orang ramai terhadap kes koronavirus dengan menjual pelbagai produk makanan kesihatan.

Perkara berkenaan disuarakan oleh Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar yang menyifatkan tindakan pihak berkenaan dilihat sengaja ingin menambahkan kebimbangan masyarakat berikutan kes pertama koronavirus di negara ini.

“Makanan sunah dan minum air jus apa-apa entah, banyak sangat ambil kesempatan atas kegusaran orang ramai.

“Teori-teori ini tak betul tapi orang takut dan bimbang jadi mereka terpengaruh dan merosakkan lagi kegusaran dalam kalangan orang ramai,” katanya yang dipetik ketika ditemubual dalam program Buletin Awani Khas, hari ini.

Mengulas lanjut Dr. Zainal Ariffin berkata, media sosial juga perlu bertanggungjawab untuk mengawal dan tidak mempromosikan perkara yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai.

“Banyak sangat nasihat dan promosi, misalnya sekarang berlumba-lumba ramai nak beli topeng muka dan sabun pencuci tangan.

“Kita bimbang nanti ada yang ambil kesempatan dengan naikkan harga dan menyorokkan pula,” ujar beliau.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan supaya orang ramai mengurangkan pergerakan luar sekiranya terdapat simptom seperti demam, batuk dan selsema.

“Kalau kita ada demam dan selsema kita kurangkan pergerakan, tak payah nak keluar tengor wayang, kedai, kenduri-kenduri pun kalau boleh kurangkan,” katanya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular