Berikutan penyebaran wabak virus korona atau turut dikenali sebagai nCov-2019 di China, pakar-pakar kesihatan dari Amerika Syarikat dilaporkan pernah menjalankan kajian simulasi pendemik virus korona sekiranya situasi yang hampir sama benar-benar berlaku.

Kajian yang bertujuan untuk mengkaji kaedah terbaik yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa untuk menangani masalah penyebaran wabak ini dilakukan kira-kira tiga bulan sebelum virus korona dikesan di China.

Simulasi berkenaan bagaimanapun tidak dianggap sebagai suatu ‘jangkaan,’ sebaliknya lebih kepada panduan persediaan yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa sekiranya situasi dalam simulasi benar-benar berlaku, seperti sekarang.

Simulasi berkomputer yang dijalankan oleh para saintis di Pusat Kesihatan Johns Hopkins sebelum ini dilaporkan menjangkakan situasi terburuk yang boleh memberi kesan terhadap populasi masyarakat di dunia, bagaimanapun, Pusat Keselamatan Kesihatan – Forum Ekonomi Dunia dan Yayasan Bill dan Melinda Gates menafikan simulasi yang dikaji adalah sama dengan nCoV-2019.

Sehingga kini, virus yang tersebar dengan mudah ini sudah membunuh berpuluh-puluh penduduk di China dan beberapa bilangan kes di negara-negara lain seperti Thailand, Singapura, Australia, Perancis, Hong Kong, Jepun, Macau, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, Nepal, Taiwan dan terbaharu, di Malaysia.

Wabak virus korona adalah jangkitan yang melibatkan saluran pernafasan yang boleh menyebabkan demam biasa, batuk dan kesukaran bernafas. Bagaimanapun, sesetengah pesakit virus korona menunjukkan simptom pneumonia.

Dr Eric Toner yang merupakan Penyelidik Kanan di Johns Hopkins bagaimanapun mengatakan kepada Business Insider bahawa kewujudan wabak ini adalah tidak mengejutkan selepas mengetahui tentang penyebaran wabak virus korona di Wuhan pada akhir Disember.

“Saya sudah lama berfikir bahawa virus yang mungkin menyebabkan pandemik baru akan menjadi virus korona.

“Kami masih belum tahu bagaimana wabak ini dapat menular. Kita tahu bahawa virus ini boleh tersebar kepada orang lain, tetapi kita tidak tahu sejauh mana.

“Pandangan awal kami adalah bahawa (wabak) ini lebih ringan berbanding wabak SARS. Itu yang diyakini. Bagaimanapun, wabak ini mungkin lebih mudah disebarkan berbanding wabak SARS, sekurang-kurangnya dalam sesebuah komuniti.”

Wabak virus korona pertama kali dikesan di Wuhan, China dengan pesakit yang mempunyai kiatan dengan Pasar Borong Makanan Laut Huanan yang terletak di Wuhan. Seterusnya, wabak ini dipercayai tersebar melalui kaedah perhubungan antara manusia dengan manusia.

Sehingga kini, banyak negara telah mengambil langkah keselamatan dengan mengawal ketat kemasukan pelancong di setiap lapangan terbang termasuklah Jepun, Korea Selatan, Thailand, Hong Kong, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Australia dan Amerika Syarikat juga melakukan pengesanan kesihatan kepada pesakit yang mempunyai suhu badan yang tinggi.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular