Kementerian Kesihatan Malaysia pada 25 Januari memaklumkan kepada orang ramai bahawa tiga kes virus korona yang berasal dari Wuhan, China telahpun dikesan positif di Malaysia.

Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kesemua pesakit diperolehi dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh lewat malam 24 Januari.

Gambar Hiasan/YouTube

Tiga orang pesakit berkenaan dilaporkan merupakan kenalan terdekat kepada dua orang pesakit virus korona yang sebelum ini disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS) di Singapura. 

Dilaporkan seramai sembilan orang telah menaiki pesawat (bersekali dengan pesakit kes di Singapura) dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari 2020 dan dua daripadanya mempunyai gejala virus korona dan dimasukkan ke hospital di Singapura pada 22 Januari 2020 sebelum disahkan positif virus korona.

Berikutan pengesanan kes virus korona di Singapura, KKS telah menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memaklumkan pengesahan kes virus korona yang ditemui di Singapura serta memaklumkan tentang kenalan rapat pesakit yang dilaporkan kini berada di Malaysia.

Berikutan itu, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua lapan orang kenalan terbabit dan melakukan saringan kesihatan kepada mereka sebelum menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh.

Kesemua kenalan pesakit kes pertama di Singapura tersebut telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan oleh JKN Johor sementara menunggu keputusan ujian.

Ujian seterusnya menunjukkan tiga pesakit yang dikesan positif virus korona di Malaysia adalah isteri dan dua orang cucu kepada kes pertama di Singapura sementara yang selebihnya dikesan negatif virus Korona.

Tiga pesakit itu kini ditahan di Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular