Bandar Wuhan di China kini berada dalam perhatian dunia dengan merebaknya wabak coronavirus yang telah membunuh 17 orang setakat ini dan menjangkiti lebih 500 orang di China dan beberapa kes di luar negara iaitu Korea Selatan, Jepun, Thailand, Taiwan dan Amerika Syarikat.

Wabak coronavirus disahkan pada awalnya berpunca dari sebuah pasar di Wuhan yang membekalkan makanan laut dan daging segar. Apa yang mengejutkan apabila dilaporkan pasar ini membekalkan pelbagai jenis daging segar daripada haiwan ternakan sehingga kepada haiwan liar pelbagai spesies yang dijual secara terbuka.

@suilee/Twitter

Pasar Huanan yang kini ditutup ekoran kes pertama wabak bermula dan merebak dari sini, bukan sahaja menjual makanan laut bahkan menjual pelbagai jenis daging haiwan liar, termasuk haiwan yang masih hidup.

Daily Mail melaporkan Pasar Huanan menjual daging koala, serigala, buaya, anak anjing serigala, musang, salamander, ular, tikus, burung merak, landak, rusa serta lain-lain spesies.

Harga daging koala dijual pada harga RMB70 (RM41.00) sekilogram di Pasar Huanan.

@muyixiao/Twitter

Seorang netizen di laman sosial Weibo mendedahkan, “Cuba anda lihat menu yang berada di pasar ini, semuanya ada menjual haiwan liar. Mereka makan apa sahaja di China termasuk daging koala. Pasar Huanan menjual lebih daripada 112 jenis haiwan liar hidup di sana.”

Hal ini amat membimbangkan kerana pasar ini turut menjual haiwan liar yang sedang mengalami kepupusan dan spesies yang dilindungi oleh kebanyakan negara seluruh dunia.

Ketua Pengarah Pengawalan dan Pencegahan Virus China, Gao Fu berkata, wabak coronavirus yang tersebar dipercayai berasal daripada haiwan liar yang berada di Pasar Huanan, meskipun sehingga kini pihak mereka belum dapat mengesah dan menjelaskan dengan lebih lanjut mengapa virus itu boleh berada di sana.

@muyixiao/Twitter

Pemerintah China membuat kenyataan bahawa mereka sudah melarang sebarang bentuk penjualan daging eksotik dan haiwan liar di pasar dan telah membuat pemantauan yang perlu. Namun masih terdapat peniaga yang berdegil dengan terus menjual daging haiwan liar.

Kenyataan yang diperkukuhkan apabila kebanyakan mangsa yang dijangkiti wabak coronavirus dengan salah seorang yang meninggal dunia merupakan seorang peniaga daging segar dan mereka yang bekerja di Pasar Huanan.

Wabak baru novel coronavirus merupakan virus mirip Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang merebak pada tahun 2002 dan telah membunuh hampir 800 orang di seluruh dunia. Virus SARS dipercayai mula merebak daripada kelawar yang dijual secara terbuka di sebuah pasar di China.

@austinramzy/Twitter

Laporan terbaru memetik Ketua Pakar Respiratori China, Zhong Nanshan mengesahkan virus berpotensi menular melalui transmisi atau pemindahan daripada manusia ke manusia, walaupun pada mulanya ia berasal daripada jangkitan haiwan.

Gejala yang biasa bagi novel coronavirus adalah dengan simptom demam selesema, batuk, sesak nafas dan sakit di bahagian dada.

Sehingga kini kerajaan China telah mengambil pelbagai langkah perlu bagi mengekang wabak daripada terus menular termasuk menutup pasar terlibat, mengkuarantin mangsa jangkitan dan menghentikan semua aktiviti perniagaan yang melibatkan haiwan liar di Wuhan.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular