KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara telah menetapkan kadar dasar semalaman (OPR) dari 3 peratus kepada 2.75 peratus.

Menurut laporan media, penurunan sebanyak 25 mata itu telah mengejutkan ramai penganalisis ekonomi yang sebelum ini menjangkakan OPR akan kekal pada 3 peratus.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataannya pada 22 Januari berkata, pengurangan berkenaan merupakan langkah awal bagi memperolehi trajektori pertumbuhan yang lebih baik serta kestabilan harga.

@BNM_official/Twitter

“Pada tahap OPR kini, MPC berpandangan bahawa pendirian dasar monetari adalah bersesuaian dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi selari dengan kestabilan harga itu,” katanya.

“Bagi tahun 2020, kadar pertumbuhan akan meningkat secara berperingkat, disokong perbelanjaan isi rumah, serta prestasi pengeksportan yang lebih baik,” demikian kenyataan Bank Negara.

Ramai ahli ekonomi dan penganalisis menjangkakan pengurangan itu akan diputuskan pada Mac dengan berpandangan Bank Negara akan menunggu pengesahan daripada data ekonomi awal tahun 2020 sebelum memutuskan kadar faedah utama.

@BNM_official/Twitter

“Kami menjangkakan BNM kekal bertahan sepanjang tahun 2020 susulan langkah pengurangan kadar dasar awal hari ini dengan cenderung kepada kadar yang stabil dan lebih rendah bagi jangka sederhana. Tindakan dasar selanjutnya mungkin akan bergantung kepada data,” kata Pakar Ekonomi JP Morgan, Nur Raisah Rasid kepada Bernama.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berpendapat BNM amat menyedari perkembangan luaran dan akan bergantung kepada data seperti perdagangan, sentimen perniagaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar untuk menentukan tindakan seterusnya.

“Buat masa ini, kami menjangkakan bank pusat akan mengekalkan OPR semasa sepanjang tahun ini tertakluk kepada prospek ekonomi yang semakin berkembang di seluruh dunia. Bagaimanapun, jika data menunjukkan lebih buruk, maka BNM mungkin mengurangkan lagi kadar itu,” katanya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES Ekonomi NASIONAL

Video Popular