Perniagaan adalah salah satu cara untuk menjana wang dengan cara yang pastinya akan memberi pulangan, dan dalam masa yang sama boleh menambah pengalaman kepada seseorang.

Bagaimanapun, untuk berniaga dengan baik kadang-kala tetap juga memerlukan nasihat dan panduan yang boleh diikut agar perniagaan itu tidak menemui jalan buntu.

@magmalaya/Twitter

Seorang pengguna Twitter, yang juga merupakan seorang usahawan muda, Faheem (@magmalaya) baru-baru ini ada berkongsi beberapa tip yang boleh digunakan oleh sesiapa yang berminat mahu menjalankan perniagaan dengan bermodalkan sejumlah wang yang rendah iaitu kira-kira RM 2,000 hingga RM 5,000.

1. Ambil produk dari pemborong atau penjual tempatan terlebih dahulu

@magmalaya/Twitter

Menurut Faheem, kesalahan pertama yang sering dilakukan oleh para usahawan adalah dengan terus pergi ke China untuk mencari barang untuk dijual.

Dengan langkah yang dilakukan ini, modal utama yang dikeluarkan itu sendiri boleh melebihi dari RM 2,000 yang dilaburkan. Jadi, sebaiknya, ambil dan jual barangan yang dibeli secara borong dari pemborong di Malaysia terlebih dahulu.

Selain daripada barangan yang mudah untuk didapati, barang yang rosak atau tidak mencapai kualiti juga boleh ditukar serta-merta.

2. Cari pelanggan berpotensi terlebih dahulu sebelum mencari produk yang ingin dijual

Gambar hiasan/Unsplash

Tip kedua yang dikongsikan oleh Faheem adalah supaya bakal usahawan mencari masalah yang dihadapi oleh pelanggan yang berpotensi dahulu sebelum ‘memberikan’ mereka jalan penyelesaian (produk).

Salah satu cara untuk melakukan kajian sebelum permulaan perniagaan yang boleh dilakukan adalah dengan menyertai kumpulan-kumpulan dalam laman Facebook dan ambil tahu masalah yang sering mereka hadapi.

Dengan maklumat yang ada, cari produk yang boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut dan perkenalkan produk itu kepada golongan terbabit. Buat keputusan dengan bijak!

3. Sebagai langkah permulaan perniagaan, pilih produk yang ringan, bersaiz kecil dan menjadi keperluan harian

Gambar hiasan/Unsplash

Seterusnya, Faheem menekankan bahawa pemilihan produk untuk dijual juga perlu diberi perhatian. Sebagai permulaan dalam perniagaan, jual dahulu produk yang tidak melebihi berat 2kg. Hal ini adalah salah satu langkah penjimatan kos pengeposan dan ruang yang digunakan di setor atau gudang.

Disamping itu, digalakkan juga kepada bakal usahawan untuk memilih produk yang lazimnya digunakan pada setiap hari seperti berus pencuci, agen pencuci, pengepit kuku, sarung telefon bimbit, wayar USB dan lain-lain lagi.

Apa yang penting, jual produk yang “kecil, digunakan setiap hari, mudah untuk dibawa dan tidak mudah ditelan zaman.”

4. Elakkan menjual produk yang bermusim dan mudah pecah

Gambar hiasan/Unsplash

Sebaik-baiknya, menurut Faheem, elakkan daripada berniaga produk yang ‘bermusim’ atau hanya popular dalam sesuatu tempoh masa sahaja. Misalnya, produk berkaitan musim perayaan, rokok elektronik, kasut berjenama keluaran terkini dan sebagainya.

Selain itu, untuk mengurangkan lagi risiko kerosakan produk dan sebagainya, elakkan daripada menjual produk yang mudah pecah dan yang memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi seperti telefon bimbit.

5. Tanamkan matlamat untuk sentiasa meluaskan lagi skala perniagaan

@magmalaya/Twitter

Menurut perkongsian Faheem, seseorang yang menyertai dunia perniagaan perlu sentiasa ada matlamat untuk meluaskan lagi skala perniagaan.

Tidak mengapa walaupun pada permulaannya hanya dengan jualan produk yang tidak gah dan berniaga dalam skala yang kecil, apabila perniagaan semakin mendapat tempat di hati masyarakat, anda sudah boleh mula mengorak langkah untuk meluaskan lagi perniagaan dan menawarkan produk-produk yang lebih menarik dan mengikut arus zaman.

Gambar hiasan/Unsplash

Tambahan pula, dengan matlamat yang sebegini, dalam masa yang sama boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat dan boleh memberi impak yang baik kepada ekonomi setempat.

Sehingga entri ini dihasilkan, perkongsian dari Faheem telahpun mendapat sebanyak 9,762 sukaan, 5,491 ulang kicau dan 40 komen dari warganet yang berterima kasih dengan perkongsian Faheem.

@magmalaya/Twitter

@magmalaya/Twitter

Disamping itu, ada juga antaranya yang berkongsi pengalaman mereka yang pernah cuba untuk menceburi bidang perniagaan dan secara tidak sengaja ‘melanggar’ beberapa tips yang dicadangkan oleh Faheem.

@magmalaya/Twitter

Sememangnya, dunia perniagaan adalah suatu bidang yang menarik dan menguntungkan untuk diceburi. Namun, ilmu dan pengalaman juga adalah salah satu faktor yang diperlukan dalam bidang ini agar semuanya boleh berjalan lancar. 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular