Dengan keadaan ekonomi yang semakin menekan, kini hampir tidak mustahil untuk kita melihat warga emas yang membanting tulang bagi menyara kehidupan. Dengan tenaga yang semakin berkurangan, hal ini pastinya adalah suatu kesusahan buat mereka.

Seorang pengguna Facebook (พลากร เทศนำ) dari Thailand baru-baru ini ada berkongsi pengalamannya yang secara tidak sengaja bertemu dengan seorang warga emas lelaki, Lung Pracha, 81, yang masih bekerja di sebuah pasaraya sebagai jurujual. Sebagai pemuda yang masih lagi sihat dan bertenaga, persoalan pertama yang berlegar dalam fikirannya pastinya adalah “mengapakah pak cik tua ini masih lagi bekerja?”

Pertemuan mereka berdua dimulakan dengan soalan dari Pracha atau lebih mesra disapa sebagai pak cik Pra, yang mahukan kepastian bahawa sama ada pemuda itu memerlukan bakul untuk memudahkan urusan membeli-belah. Bermula dari persoalan itu, pemuda berkenaan cuba mencari ruang untuk bertanyakan sebab warga emas itu masih bekerja di usia tua.

“Pengurus di sini bersimpati dengan saya dan menerima saya untuk bekerja,” jawab pak cik Pra dengan ringkas. Menurutnya, waktu bekerjanya adalah bermula dari jam 9.00 pagi sehingga jam 7.00 petang.

“Setiap saat yang kamu fikirkan, setiap saatnya berlalu dengan wang,” tambah pak cik Pra mengenai pandangannya terhadap masa yang dimiliki.

Pada usia mudanya, pak cik Pra pernah mempunyai syarikat pembinaannya yang tersendiri disamping mempunyai lebih dari 200 orang pekerja di bawah seliannya. Bukan itu sahaja, pak cik Pra juga pernah mempunyai ramai kawan. Namun, sebaik sahaja perniagaannya merudum, semua orang yang pernah berada bersamanya untuk bergembira telahpun menghilangkan diri.

Sebelum berpisah, pak cik Pra sempat berpesan kepada pemuda itu, “jangan minum arak, jangan merokok, jangan makan dan minum minuman ringan. Tubuh badan kita sudah dalam keadaan yang baik dan lebih pentingnya, jangan rasa tertekan. Belajar cara untuk melepaskan juga.”

Ternyata, pengalaman yang menggunung yang tersimpan dalam memori lelaki tua itu telah membuatkan semua kata-kata yang diucapkannya boleh digunakan sebagai nasihat.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular