Apabila ibu bapa semakin tua dan uzur, mereka cenderung akan kasih sayang anak-anak dan keluarga terdekat. Masa, penghormatan, belaian kasih sayang dan memuliakan ibu bapa menjadi satu perkara yang sangat didambakan oleh mereka. Namun, bukan semua orang mampu melakukan pengorbanan sedemikian rupa. Bak kata pepatah, seorang ibu atau bapa mampu menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu mahu menjaga ibu bapa mereka.

Apabila anak semakin besar dan sibuk bekerja, anak-anak akan sedikit sebanyak melupakan ibu dan bapa mereka. Tetapi, sedarkah kita bahawa tanpa mereka, mana mungkin kita mampu melihat dunia ini dan menjadi seorang manusia yang baik. Sepertimana seorang anak lelaki dari Vietnam ini yang sangat tekun menjaga ibunya yang uzur. Bukan sahaja itu, ibu tua yang berusia dalam lingkungan umur 90-an itu juga sudah terlalu uzur dan hanya mampu terbaring di atas tilam.

Sedangkan untuk menguruskan dirinya sendiri pun tidak mampu, bagaimanapun nasib baik wanita ini memiliki seorang anak yang sangat penyayang. Meskipun anak lelakinya yang berusia 50 tahun ini kelainan upaya, ia langsung tidak menghalangnya dari berbakti kepada ibu tercinta.

Sejak kecil lagi lelaki ini disahkan mengalami masalah kecacatan mental sekali gus menyebabkan dia selalu bergantung kepada ibunya. Segala keperluan dan kebajikannya dijaga oleh si ibu bagi memastikan dia hidup dengan selesa dan gembira. Justeru, apabila sudah meningkat dewasa, adalah menjadi tugasnya untuk membalas segala jasa ibunya sejak dulu.

Media Vietnam melaporkan bahawa wanita tua itu sebenarnya mempunyai 5 orang anak di mana dua daripadanya telah meninggal dunia manakala dua lagi telah pun mendirikan rumah tangga. Akan tetapi, keluarga ini mengalami masalah keluarga sehingga menyebabkan keadaan kesihatan ibu ini diabaikan. Oleh demikian, dia terpaksa terlantar menahan sakit di rumah kerana tidak mempunyai sumber pendapatan untuk mendapatkan rawatan.

Berbeza pula dengan adik-beradik yang lain, lelaki ini sedar hanya dia menjadi tempat ibunya bergantung nasib setelah tidak dipedulikan oleh anak-anaknya. Meskipun dilahirkan dengan keadaan sebegitu, dia masih waras dan tahu apa yang harus dilakukan untuk memastikan ibunya sentiasa dijaga dengan baik. Justeru, setiap hari lelaki ini akan pergi ke pasar untuk mencari rezeki dengan mengutip sampah.

Dengan hasil kerja kerasnya itulah dia mampu membelikan makanan buat ibu tercinta. Malah, lelaki ini juga prihatin akan selera ibunya. Dia sedar ibunya yang sudah uzur itu tidak mampu untuk makan makanan yang bersifat keras dan berminyak. Selain itu, dia juga tidak lupa untuk membelikan susu serta tidak kekok ketika menukarkan lampin atau memandikan ibunya.

Sikap tanggungjawab yang wujud dalam diri lelaki ini membuatkan ramai pihak merasa kagum dan bangga dengannya. Tidak ramai manusia yang sanggup melakukan seperti mana yang lelaki ini lakukan buat ibunya lebih-lebih lagi dengan keadaan mentalnya itu. Meskipun dilahirkan kelainan upaya, ternyata daya pemikirannya jauh lebih rasional berbanding segelintir individu yang terlalu sibuk mengejar kekayaan dunia.

Alasan-alasan seperti tiada masa untuk bersama ibu bapa dan sibuk bekerja merupakan alasan yang sering digunakan oleh anak yang ingin lepas tangan untuk menjaga orang tua. Walau apa pun alasannya, kita sebagai anak harus memikul tanggungjawab terhadap ibu dan bapa yang telah bersusah-payah membesarkan kita sejak kecil.

Bukannya susah untuk menggembirakan hati orang tua. Sekiranya anda berada nun jauh di perantauan dan tidak dapat pulang untuk menemui orang tua, panggilan telefon juga sudah memadai sebagai tanda ingatan terhadap mereka. Luangkan masa dengan saling bertanya khabar dan berkongsi kisah-kisah yang berlaku dalam kehidupan seharian anda.

Apa yang penting, anda harus ingat bahawa doa dan redha ibu bapa merupakan kunci kejayaan bagi seseorang manusia dalam mengejar akhirat yang pasti. Semoga kita semua mampu membahagiakan kedua orang tua kita selagi masih bernyawa.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular