Mendengar sahaja seseorang bekerja di lautan ataupun di pelantar minyak, pasti kita secara automatiknya terbayangkan kadar upah dan elaun lumayan bukan? Dengan gaji sebanyak RM7,000 yang diraih untuk kerja selama 3 minggu, memang seronok! Sebenarnya terdapat sisi lain yang kita mungkin tidak tahu.

Oleh yang demikian, seorang pekerja juruteknik peralatan yang menggunakan nama akaun @azwan_kar berkongsi pengalamannya di Twitter yang kerap menerima berita tidak menggembirakan sebaik sahaja pulang untuk bekerja di lautan.

Menurut Azwan, kebanyakan masa dia mengganggap bahawa rohnya berada di kampung walaupun jasadnya pada ketika itu berada di lautan. Azwan mula bertugas selepas Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2017. Ketika itu Azwan agak terganggu juga dengan pekerja lain seramai 400 lebih di atas kapal!

Antara yang tidak boleh dilupakan adalah apabila selesai sahaja kerja yang sudah berlangsung selama 5-7 hari, mereka tidak pulang ke kapal penginapan.

Mereka buat kerja di pelantar, menukar pakaian dan berus gigi di tempat yang sama. Mereka dibenarkan tidur di seluruh platform kecuali dek laut atau tingkat paling bawah platform. Jika mahu tidur di surau atau galley (tempat makan) pula, perlu masuk awal sebab ia memang dipenuhi oleh ramai orang.

Twitter

Menurut Azwan, dia suka tidur di tingkat paling atas berdekatan dengan pintu surau, beralaskan kotak ekoran permukaan grating yang agak tajam dan berbantalkan jaket keselamatan. Di situ, wifi agak kuat tetapi agak berbahaya. Tergolek sedikit alamatnya terus jatuh ke dek bawah ataupun di laut!

Disebabkan oleh keletihan, mereka semua lazimnya akan terus tertidur walaupun ada yang tidur di dek bawah (tingkat dua daripada dek laut). Pernah mereka semua dihantar ke kapal penginapan menaiki bot laju tetapi berpatah balik ke platform atas alasan semuanya berebut nak naik basket.

Hari ke-5 setelah selesai kerja, barulah mereka dihantar pulang ke kapal penginapan dan diberi rehat selama 2 hari dengan gaji penuh semasa platform sedang dimulakan semula bagi proses berjalan.

Hari ke-20, kurang 10 hari sahaja lagi mereka akan pulang ke rumah masing-masing bertemu keluarga. Pada ketika itu, Azwan berada di dalam bilik menonton filem P.Ramlee. Tiba-tiba, kapten kapal membuat pengumuman memanggil abang Azwan ke bilik kawalan. 

Selang dalam lebih kurang 10-15 minit, abang kepada Azwan masuk ke biliknya dan menjelaskan bahawa rumah ibu mereka terbakar. Dia yang berasa terkejut segera turun daripada katil untuk menyambungkan wifi ke telefon bimbitnya.

Twitter

Azwan yang pada awalnya berdiri secara tiba-tiba terduduk sendiri selepas melihat bertalu-talu mesej di Whatsapp dengan gambar dan video. Ramai kenalan yang turut memberi semangat untuknya. Esoknya, Azwan dihantar pulang menggunakan helikopter.

Sesampainya sahaja di lapangan terbang Kerteh, dia disambut oleh arwah isterinya (ketika itu masih belum berkahwin). Pulang sahaja ke kampung, dia melihat 80% daripada rumah ibunya terbakar dengan 98% bahagian atas rumah hangus terbakar. Boleh dikatakan bahawa semua barang di bahagian atas rosak sepenuhnya. 

Twitter

Azwan bersyukur bahawa semua ahli keluarganya selamat. Ternyata harta dunia boleh dicari manakala nyawa pula tiada galang gantinya. Kemudian pada tahun 2018, sekali lagi Azwan pergi ke turun ke laut tetapi dengan beban kerja yang agak ringan, lebih kurang 2 minggu sahaja. 

Selepas lapan hari, Azwan menerima perkhabaran yang menyedihkan apabila bakal isterinya dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke wad. Ketika itu, dia sudah tidak dapat menumpukan perhatian pada kerja lagi.

Jasadnya sahaja berada di lautan kerana dia tidak dibenarkan pulang ke daratan. Sesudah 14 hari, dia kemudian pulang ke daratan dan mendapat tahu bahawa bakal isterinya sudah pun keluar daripada hospital.

Selepas berkahwin, Azwan sekali lagi turun bekerja di laut untuk kali ketiga. Namun nasib tidak menyebelahinya apabila setibanya Raya Haji, sekali lagi isterinya dimasukkan ke wad dan tidak sedarkan diri.

Twitter

Setelah puas meminta, akhirnya Azwan dibenarkan pulang 10 hari lebih awal daripada tarikh sepatutnya. Sesampai sahaja di darat, dia terus berkejar ke hospital dengan pakaian kerjanya membuatkan semua mata tertumpu padanya.

Syukurlah kerana isterinya ketika itu dibenarkan keluar wad. Kemudian pada tahun 2019, Azwan telah ditawarkan bekerja lagi dengan gaji sebanyak RM300 untuk sehari tidak termasuk upah kerja lebih masa.

Tetapi Azwan memutuskan untuk menolak tawaran berkenaan dan dia ternyata tidak menyesali keputusannya itu. Ini kerana, jika tidak, dia pasti sangat menyesali tindakannya pergi semula ke lautan untuk bekerja kerana pada saat itulah dia kehilangan isteri tercinta buat selamanya. 

Itulah antara pengalaman yang kadang kala menyebabkan lelaki berkenaan berasa agak serik untuk ke lautan. Namun dia akur bahawa semuanya sudah tertulis dan perancangan Tuhan itu sudah terbaik buat dirinya.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular