- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Bermula 18 Januari, penggunaan telefon bimbit ketika memandu akan disaman RM300 tanpa kompromi

PETALING JAYA – Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas dengan mengenakan saman sebanyak RM300 kepada mana-mana individu yang didapati menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Menurut Sin Chew Daily, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan satu inisiatif baharu yang disebut sebagai “Operasi Selamat Ke-16” bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang akan diadakan tidak lama lagi. Operasi ini akan dilaksanakan di seluruh negara dan mula berkuat kuasa pada 18 Januari hingga 1 Februari ini.

Tambah Datuk Mazlan lagi, anggota PDRM akan memberikan tumpuan utama kepada enam kesalahan yang seringkali menjadi faktor penyumbang kepada kemalangan di jalan raya. Enam kesalahan tersebut termasuklah penyalahgunaan lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, melanggar isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dibenarkan, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Tema pelaksanaan operasi ini adalah untuk memastikan rakyat Malaysia “pulang ke rumah dengan selamat” selaras dengan matlamat PDRM dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sekali gus mengelakkan kes kecurian serta melindungi harta benda rakyat.

Gambar Hiasan | Pexel – Roman Pohorecki [1]

“Menerusi analisis dan penyelidikan selama bertahun-tahun, pemanduan yang tidak berhemah telah dikenalpasti sebagai punca utama kemalangan kenderaan. Orang awam harus tahu undang-undang jalan raya sebelum memiliki lesen memandu supaya pihak polis tidak perlu berkompromi dengan pesalah trafik,” jelas Datuk Mazlan.

Kata beliau lagi, tindakan yang tegas turut akan dikenakan kepada kumpulan sasaran lain seperti Mat Rempit, penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya dan merisikokan keselamatan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Pihak kami sudah mengenalpasti kawasan panas penunggang-penunggang motosikal ini dan akan mengerahkan pegawai polis untuk menghentikan kegiatan mereka. Penunggang ini bukan sahaja mengganggu pemandu di jalan raya tetapi mereka juga menyumbang kepada banyak gejala sosial dan jenayah”.

Sementara itu, pengerusi syarikat North-South Avenue, Datuk Mohd Nasir menegaskan bahawa akan berlaku peningkatan trafik yang boleh mencecah sehingga 2 juta kenderaan sehari bersempena dengan musim perayaan Tahun Baharu Cina itu. Peningkatan tersebut mencatatkan lebihan sebanyak 18% daripada 1.7 juta kenderaan pada hari biasa. Pada masa yang sama, seramai 5,000 anggota dan pegawai akan ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu semasa “Operasi Selamat Ke-16” bagi menjamin kelancaran lalu lintas.

loading...