KUALA LUMPUR – Hidup kucing terbiar di sekitar kawasan Muzium Negara berkemungkinan besar akan berakhir dan diambil alih oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekiranya haiwan ini masih lagi berkeliaran.

Perkara ini dikongsikan sendiri oleh seorang sukarelawan muzium yang hanya ingin dikenali sebagai Caroline. Menurut wanita ini, daripada jumlah keseluruhan kucing jalanan yang berada di kawasan tersebut, 13 ekor daripadanya telah pun dipelihara dan mendapat pemilik baharu manakala 11 ekor lagi masih belum berpunya.

“Kesemua kucing ini telah bersih dan dimandulkan serta bersedia untuk memiliki tuan baharu. Terdapat banyak lagi kucing yang saya cuba selamatkan tetapi ia memakan sedikit masa memandangkan kesemuanya adalah kucing jalanan dan kurang jinak.”

Kebimbangan Caroline mula menjadi satu kenyataan apabila beberapa pegawai DBKL pernah melakukan pengawasan di kawasan berkenaan sambil membawa beberapa sangkar dan menangkap tiga ekor kucing.

“Apabila saya melihat kejadian itu, saya dan suami segera mengumpulkan kucing-kucing ini dan membawa mereka pulang ke rumah. Tetapi minggu lalu, saya melihat trak DBKL tiba ke perkarangan muzium”.

Tambahnya lagi, “Saya telah memaklumkan bahawa kesemua kucing itu adalah milik saya tetapi mereka (pegawai DBKL) tidak mempedulikan saya dan menangkap tiga ekor kucing. Pusat Kurungan Haiwan DBKL bukanlah tempat yang sesuai untuk semua haiwan. Keadaan di sana teruk seperti yang anda baca di berita”.

Sebelum ini, sebuah program televisyen pernah menyiarkan rakaman tersembunyi yang memaparkan kegiatan pekerja Pusat Kurungan Haiwan DBKL yang menyeksa haiwan terbiar dan membunuh haiwan-haiwan ini sambil diperhatikan oleh haiwan lain. Bukan sahaja itu, haiwan yang diletakkan di sana turut dikatakan mengalami patah tengkuk selain dibunuh dengan cara yang kejam seperti dipukul atau dilemaskan.

Sementara itu, Caroline turut berharap agar pihak DBKL tidak akan datang untuk menangkap kucing-kucing terbiar itu dalam masa terdekat bagi membolehkan orang ramai mengambil dan memelihara kucing-kucing ini. 

“Tahukah anda di Turki, salah satu pusat membeli-belah di sana membenarkan haiwan terbiar untuk masuk ke dalam kawasan tersebut. Kenapa kita tidak boleh melakukan hal yang sama?”

Sehingga kini, Caroline dan suami telah bertanggungjawab menjaga kebajikan lebih daripada 60 ekor kucing yang tinggal di sekitar Muzium Negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 35 ekor kucing telah dikembiri. Justeru, Caroline yang merupakan warganegara Jerman amat berharap agar ada individu yang bakal menggantikan tempatnya dalam memelihara kucing-kucing ini sekiranya dia terpaksa kembali ke negara asal.

Untuk sebarang maklumat atau pertanyaan mengenai kucing-kucing ini, anda boleh menghubungi Caroline di nombor 017-6303658 atau Normimi 018-2356321.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP

Video Popular