Umumnya, batuk merupakan satu tindakan refleks bagi membersihkan saluran pernafasan daripada lendiran dan perengsa seperti habuk dan asap dan ia terbahagi kepada dua; batuk kering (tiada kahak) dan batuk berkahak.

Namun jangan sangka batuk ini tidak merbahaya ya kerana ia mungkin menjadi petanda terhadap penyakit lain.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Hara Lee baru-baru ini ada memuat naik satu perkongsian mengenai dirinya yang dimasukkan ke dalam wad ekoran batuk.

Facebook

Menurut wanita itu, dia mula mengalami batuk pada penghujung Disember lalu. Ketika itu, dia membeli ubat di farmasi dan ada juga pergi berjumpa dengan doktor. Ubat batuk dan antibiotik diambil namun batuknya tidak juga pulih.

Dia difahamkan batuk berpanjangan selama 10 hari dan ia menyebabkan masalah pernafasan, sakit kepala, sakit tekak, berpeluh dan menyebabkan waktu tidur wanita itu terganggu. Namun pada ketika itu, semua kenalannya berkata bahawa ia merupakan batuk biasa dan tiada apa-apa yang serius mengenainya.

Rakannya juga sempat memberitahunya mengenai farmasi yang menjual jenis ubat lain yang didakwa berkesan menghilangkan batuk. Pada hari ke-11, wanita itu sudah mula rasa tidak selesa memandangkan segala rutin hariannya terganggu. Dia juga gusar sekiranya batuk tersebut turut mengganggu tidur suaminya.

Oleh kerana itu, dia memilih untuk tidur di ruang tamu rumahnya. Dia juga telah memakai topeng muka setiap hari di rumah ekoran bimbang ia menjangkiti keluarganya. Setelah tidak dapat menahan lagi, dia meminta suaminya untuk membawanya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

Gambar Hiasan/Photo-AC

Wanita itu berjumpa dengan pakar ENT dan doktor difahamkan telah menyemburkan ubat pada hidung lalu meletakkan cermin di dalam salur lubang hidungnya untuk diperiksa namun doktor tidak menemukan apa-apa masalah.

Doktor kemudian beralih kepada tekaknya dan mendapati bahawa terdapat sedikit kahak tetapi tiada keradangan langsung. Doktor kemudian melakukan x-ray pada paru-parunya. Selepas mengambil beberapa gambar dan menunggu berjam-jam, keputusan masih lagi sama – tiada masalah langsung!

Oleh kerana itu, wanita tersebut diminta untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan dimasukkan ke wad ekoran batuk tanpa sebab yang jelas. Dia juga diarahkan untuk memakan ubat namun tiada sebarang perubahan berlaku.

Pada hari pertama dia di hospital, doktor mengarahkannya untuk berpuasa kerana pada pagi hari berikutnya, dia perlu menjalani endoskopi. Setelah pemeriksaan lanjut pada ususnya, hasil mendapati bahawa terdapat jangkitan bacter pylori – penyebab kepada batuk refluks asid.

Tambah doktor lagi, dia perlu kerap menjalani rawatan kerana jika tidak, ia akan menjadi punca terhadap pembentukan kanser di masa akan datang. Selepas menerima beberapa rawatan antibiotik, keadaan wanita itu bertambah baik dan batuknya juga berkurangan serta sudah boleh keluar daripada wad.

Wanita itu menambah bahawa simptom jangkitan ini sebenarnya tidak berapa jelas, lazimnya sakit perut biasa atau kembung perut, di mana ia mungkin berpunca daripada jangkitan bakteria. Ramai yang menyangkakan bahawa ianya hanya sakit perut biasa.

Penyakit ini dinamakan sebagai ‘gastroesophageal reflux’ (GERD) di mana ia merujuk kepada gangguan pencernaan yang menjejaskan spinkter esofagus bawah (LES), gelungan otot antara esofagus dan perut yang lazimnya menyebabkan pedih ulu hati dan asid.

Antara simptom lain adalah seperti sakit tekak, suara menjadi serak ekoran jangkitan pada peti suara, batuk kering berpanjangan, penghasilan air liur yang banyak dan nafas berbau. Jadi, jika anda mengalami masalah yang sama, segera berjumpa pakar ya!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular