JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang disyaki dijangkiti virus  influenza dilaporkan telah meninggal dunia pada Isnin, 13 Januari 2020 sekitar jam 10.41 malam.

Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain yang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) telah dimasukkan ke hospital sejak lima hari yang lalu. Sewaktu mendapatkan rawatan, keadaan Nur Dinie dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. Bapanya, Muhammad Noor Ain, 38 tahun memaklumkan bahawa menerusi ujian imbasan, doktor mengesahkan anak bongsunya itu mengalami jangkitan pada hati selain mengalami mati otak.

“Nur Dinie sebelum ini seorang kanak-kanak yang aktif dan tidak menghidap sebarang penyakit, namun kesihatannya tiba-tiba merudum apabila mengalami demam minggu lalu. Hari ketiga demamnya masih tidak kebah menyebabkan saya membawanya ke klinik sebelum disahkan dijangkiti Influenza A dan dirujuk ke sebuah hospital swasta,” ujar bapa itu.

Tambahnya lagi, “Keadaan Nur Dinie ketika dirawat di hospital swasta juga tidak menunjukkan perubahan di samping mengalami muntah darah menyebabkan dia dirujuk ke HSA sebelum dimasukkan ke dalam ICU bagi pemantauan pakar. Walaupun pakar HSA memaklumkan otak Nur Dinie didapati mati apabila melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), namun kami masih berharap kesihatannya kembali pulih”.

Berita mengenai pemergian adik Nur Dinie telah disahkan sendiri oleh bapanya menerusi aplikasi WhatsApp yang turut memohon bantuan orang ramai agar mendoakan roh anaknya itu ditempatkan dalangan orang-orang yang beriman. Jenazah Nur Dinie juga telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Sirat Darat, Kampung Kayu Ara Pasong, Pontian.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang memaklumkan bahawa kematian Nur Dinie bukanlah berpunca daripada wabak Influenza A. Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian sampel klinikal menunjukkan keputusan negatif bagi jangkitan influenza. Sebaliknya Nur Dinie dikatakan mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan hati.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal pula mengesahkan bahawa Nur Dinie telah menjalani ujian pengesahan PCR (Polymerase Chain Reaction) beberapa jam sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Keputusan berkenaan menunjukkan bahawa punca kematian Nur Dinie adalah bukan disebabkan oleh jangkitan influenza.

Berdasarkan analisa semasa bagi corak aktviti influenza, wujud peningkatan di beberapa kawasan seluruh negara sejak minggu akhir Disember. Antara kawasan yang terlibat adalah Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan juga Sarawak.

“Bilangan wabak ILI (influenza like-illness) juga menunjukkan peningkatan namun kejadian wabak adalah dalam keadaan terkawal”.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular