TEMERLOH: Seorang daripada pasangan kembar di sini disahkan meninggal dunia akibat virus Influenza A yang dikenali sebagai H1N1, manakala yang seorang lagi kini masih berjuang untuk terus hidup.

Anak perempuan berusia satu tahun itu kini diletakkan di unit rawatan intensif (ICU) di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, dekat sini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Datuk Dr. Bahari Awang Ngah telah mengesahkan kejadian berkenaan dan menyifatkan kematian hanya dapat disahkan oleh pihak jabatan baru-baru ini setelah kes dilaporkan pada 1 Januari lepas.

Menurut sumber siasatan, adik-beradik itu pernah berada di dua tempat sahaja sebelum jatuh sakit iaitu pusat nurseri dan sebuah pasar raya tempatan.

Walau bagaimanapun, tiada sesiapa pun diuji positif untuk jangkitan H1N1 di kedua-dua tempat tersebut.

“Mangsa mungkin terkena jangkitan daripada pengunjung di pasar raya itu, Ia boleh dianggap sebagai kes terpencil dan tidak ditaksir sebagai wabak setakat ini.” katanya.

Sementara itu di Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengesahkan jumlah mangsa yang dijangkiti virus Influenza A di negeri itu meningkat ke 53 kes berbanding 19 kes hari sebelumnya.

Pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, walaupun ada pertambahan jumlah mangsa yang dijangkiti, namun tiada sekolah mahupun kelas terbaru yang ditutup.

Beliau berkata, peningkatan jumlah terbaru itu membabitkan 45 murid sekolah rendah dan sembilan pelajar sekolah menengah di negeri itu.

Abdul Rashid berkata, pertambahan kes itu melibatkan 17 buah sekolah rendah dan tujuh buah sekolah menengah dengan daerah Seberang Perai Utara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 27 kes.

Setakat ini, Abdul Rashid berkata, pihak JPN hanya menutup dua kelas Tahun 2 di Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC) Li Hwa, Butterworth, selama 11 hari.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular