KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan yang dipercayai ditemui orang awam di Jalan Taman Megah 2A, Taman Megah, Kajang telah diserahkan kepada ibu bapanya, 11 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata ibu kanak-kanak itu yang berusia 35 tahun telah menghubungi polis selepas menyedari berita penemuan anaknya kira-kira jam 2 petang berikutan menjadi tular menerusi media sosial.

“Ibu kanak-kanak itu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 9 malam Sabtu lalu bagi menuntut semula anaknya yang dipercayai hilang dengan membawa dokumen rasmi sebagai bahan bukti sokongan.

“Hasil siasatan, kanak-kanak berkenaan dikatakan kanak-kanak berusia dua tahun itu keluar sendirian untuk bermain di luar rumah melalui pintu depan yang bertutup tetapi tidak berkunci.

“Dia diserahkan semula kepada ibu bapanya dan dibawa pulang dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Berita Harian.

Dalam masa sama, Ahmad Dzaffir menzahirkan penghargaan kepada media dan orang ramai kerana membantu menyebarkan berita berkaitan kehilangan kanak-kanak berkenaan sehingga berjaya menemui ibu bapanya.

Terdahulu, polis sedang mengesan ibu bapa atau penjaga kepada seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui orang awam kira-kira jam 2 petang, 10 Januari .

Kanak-kanak dianggarkan berusia dua tahun itu berkulit cerah dengan rambut lurus, selain memakai baju-T dan seluar panjang berwarna hitam ditemui orang ramai ketika bersendirian.

“Kanak-kanak perempuan itu kemudian ditempatkan di Hospital Kajang untuk menjalani pemeriksaan fizikal secara menyeluruh sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular