SERDANG: Seorang pemandu van maut manakala empat penumpang termasuk pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota, cedera dalam kemalangan di KM13.7 Lebuhraya Mex menghala ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), 13 Januari.

Dalam kejadian kira-kira 4.57 pagi, pemandu van warga tempatan yang membawa kesemua mangsa dilapor meninggal dunia akibat tersepit di bahagian pemandu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai B Nageswarau, 24, manakala tiga lagi mangsa yang cedera adalah pembantu jurulatih warga Jepun, Marimoto Akifumi, 42; pegawai fisioterapi warga Jepun, Hirayama Yu , 35 dan Pegawai Teknikal BWF, Foster William Thomas berusia 30 tahun.

Menurutnya, laporan awal memaklumkan kemalangan melibatkan sebuah van pelancong yang berlanggar dengan sebuah lori tanah muatan 30 tan.

“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang tiba di lokasi pada jam 5.15 pagi selepas menerima panggilan memaklumkan kejadian.

“Terdapat lima mangsa dalam van tersebut, pemandunya yang tersepit disahkan meninggal dunia dan dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba,”Katanya yang dipetik Sinar Harian.

Norazam berkata, empat lagi mangsa mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kejadian melibatkan van yang dinaiki pasukan badminton Jepun.

Menurutnya, Momota mengalami patah tulang hidung luka di bahagian bibir dan muka manakala Yu luka di bahagian muka dan kaki sebelah kanan.

“Akifumi patah tangan manakala Foster William pula menerima tujuh jahitan di bahagian kepala serta luka di bahagian kaki kanan serta paha,”katanya.

Katanya, semua mangsa stabil dan mendapat rawatan di Hospital Putrajaya dan siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL SUKAN

Video Popular