PUTRAJAYA – Satu usaha menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan dilakukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) apabila menterinya, Zuraida Kamaruddin memberitahu bahawa pihaknya membenarkan pemilik premis makanan untuk menyediakan kawasan khas merokok.

Kawasan khas merokok tersebut meliputi kesemua premis makan, sama ada ia milik persendirian atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di mana ia hanya boleh disediakan sekurang-kurangnya pada jarak 3 meter daripada meja makan terdekat dan ia tidak boleh dijadikan ruang makan dan minum perokok.

Menurut Zuraida, usaha menyediakan kawasan khas merokok yang dilengkapi dengan tempat membuang puntung rokok tersebut dilaksanakan bagi memahami keperluan golongan perokok serta memberi ruang kepada mereka untuk merokok dalam tempoh ‘peralihan’ peraturan berkenaan.

Sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan oleh KPKT untuk projek pembinaan kawasan merokok di tempat awam, termasuklah di kawasan komersial dan medan selera yang dimiliki oleh 155 buah PBT di seluruh negara. “Bagi pemilik premis makan persendirian, kita mempunyai garis panduan yang akan dikeluarkan KPKT, di mana mereka perlu memohon kebenaran PBT untuk bina kawasan khas dalam skala kecil termasuklah di dalam lot kedai”.

Menurutnya, kawasan khas merokok itu perlu dilengkapi bumbung, tempat duduk dan tempat membuang puntung rokok. Mereka boleh membinanya secara berkongsi (jika dalam satu lot bangunan lebih daripada sebuah restoran) dengan kos yang ditanggung sendiri.

Manakala untuk kawasan awam, PBT diminta untuk membuat permohonan peruntukan kepada KPKT bagi menyediakan kawasan khas merokok kerana KPKT memperuntukkan lebih kurang RM5,000 bagi setiap sebuah pembinaan kawasan khas merokok.

Inisiatif ini diambil ekoran daripada timbulnya persoalan apabila Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye sebelum ini ada memberitahu bahawa restoran atau kedai makan tidak dibenarkan sama sekali untuk menyediakan ruangan khas merokok kepada pelanggan di premis terlibat.

Ia juga menimbulkan persoalan pada golongan perokok sama ada mereka yang merokok di meja tambahan tanpa lesen di luar premis makanan atau restoran boleh terlepas daripada tindakan saman. Justeru, kemudahan kawasan khas ini diyakini mampu memberi keselesaan buat perokok dalam menerima peraturan baru itu.

“Buat masa ini kita hanya menyarankan pemilik premis makan untuk membina kawasan khas itu namun mungkin akan mewajibkannya jika tiada kawasan langsung untuk pelanggan merokok. Pemilik harus melabur sedikitlah. Kita hanya memudahkan golongan perokok yang mewakili kira-kira 20 peratus populasi di Malaysia ini apatah lagi mereka juga adalah pembayar cukai, ” kata Zuraida.

Sehingga kini, KPKT sudah mempunyai satu model kawasan khas merokok yang dibina di Senario, Ampang, di mana ia mempunyai dua buah pondok (booth) kawasan merokok serta turut dilengkapi dengan bumbung, tempat duduk dan tempat membuang puntung rokok.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular