AUSTRALIA – Ahli politik, Craig Kelly mendakwa bahawa kebakaran hutan yang berlaku bukanlah berpunca daripada perubahan iklim, sebaliknya dilakukan oleh individu yang memulakan pembakaran secara sengaja.

Kelly yang sememangnya sudah terkenal dengan sentiasa meragui aspek perubahan iklim telah menyuarakan pendapatnya itu berkaitan dengan kebakaran hutan dahsyat yang memusnahkan sebilangan besar kawasan yang menjadi habitat flora dan fauna di sana.

Facebook

Selain itu, difahamkan bahawa sejumlah 180 orang telah ditahan ekoran dakwaan terlibat dengan pembakaran secara sengaja. Isu ini menjadi perdebatan hangat dalam kalangan ahli politik tempatan, di mana sebilangan daripada mereka menyatakan bahawa kesan perubahan iklim telah sengaja diperbesarkan.

Justeru, Kelly yang diwawancara menerusi rancangan Good Morning Britain telah menjelaskan bahawa tiada sebarang kaitan antara perubahan iklim dengan kebakaran dahsyat yang berlaku di negaranya. “Punca utama kebakaran itu adalah bahan api pada tanah dan kemarau”, jelasnya lagi.

Facebook

Perkara itu membuatkan pengacara rancangan terbabit, Laura Tobin membalas kenyataannya dengan berkata, “Kami mahu semua orang di dunia menurunkan kenaikan suhu global sebanyak 1.5ᵒC, kamu (Australia) langsung tidak mampu menurunkan sebanyak 2ᵒC”.

“Australia merupakan negara kedua terbesar yang melepaskan karbon di dunia. Kamu sedang menanam kepala kamu di dalam pasir. Kamu bukanlah meragui perubahan iklim tetapi menafikan hakikat perubahan iklim”, tambah Laura.

Kelly yang menyokong tindakan Perdana Menteri, Scott Morrison yang bercuti di Hawaii ketika krisis kebakaran itu kemudiannya mengeluarkan kenyataan di Twitter dengan menggelarkan ahli meteorologi yang juga pengacara terbabit sebagai ‘gadis cuaca yang jahil’ dan tidak tahu apa yang diperkatakannya.

Facebook

Lebih 180 orang telah ditangkap atas tuduhan sengaja memulakan kebakaran hutan itu, di mana ia telah mengorbarkan 25 nyawa dan memusnahkan lebih daripada 2,000 kediaman. Di New South Wales, seramai 9 orang telah terkorban sejak kebakaran itu bermula Oktober tahun lalu.

Buat masa ini, sejumlah 24 orang telah dihadapkan dengan tuduhan tersebut sementara 159 orang selebihnya didakwa atau diberi amaran atas kesalahan yang kurang serius. Dalam pada itu, para saintis percaya bahawa perubahan iklim telah memburukkan lagi keadaan sedia ada.

Menurut ahli fizik, Scott Menor, walaupun kebakaran hutan bermula dengan kegiatan pembakaran secara sengaja, namun perubahan iklim turut mempengaruhinya, sama seperti membaling mancis ke dalam air kepada membalingnya pada minyak.

Getty Images

Kebakaran hutan yang terjadi di Australia tersebut turut menerima perhatian daripada selebriti terkenal Hollywood, di mana segelintir daripada mereka merasakan bahawa situasi ini merupakan bukti yang memerlukan manusia untuk berusaha lebih keras untuk mengatasi perubahan iklim.

Di Queensland, polis telah menangkap 101 orang yang dituduh memulakan pembakaran hutan – 69 orang pesalah juvana dan 32 orang dewasa. Sementara itu, 5 orang telah ditangkap kerana didakwa membakar padang belukar di Tasmania dan 10 orang lagi di Australia Selatan.

Facebook

Sementara itu di Victoria, penduduk tempatan telah mengalami beberapa keadaan terburuk yang pernah dilihat oleh negara itu dan difahamkan bahawa sejumlah 43 orang telah didakwa dengan kesalahan memulakan kebakaran. Ini menjadikan seramai 183 orang telah ditangkap atas dakwaan memulakan kebakaran di seluruh Australia.

Facebook

Pihak polis pada ketika ini juga bimbang bahawa angka berkenaan akan terus meningkat. “Piihak polis sentiasa peka dan bersedia untuk mengambil tindakan kepada pesalah memandangkan kesan buruk dan risiko besar daripada aktiviti pembakaran ini”, kata Gary Worboys, Timbalan Pesuruhjaya Polis New South Wales.

Setakat ini, kebakaran hutan yang berlaku di Australia telah berlangsung selama tiga bulan dan telah membakar lebih daripada 6 juta hektar tanah, di mana ia turut memusnahkan habitat haiwan dan juga ribuan kediaman manusia.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular