Bermulanya tahun baru, pihak kerajaan turut mula mengimplimentasikan beberapa polisi baru yang akan mula dikuatkuasakan pada tahun 2020.

Bagi memudahkan orang ramai, akaun rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook baru-baru ini telah memuat naik satu kenyataan yang meringkaskan tentang undang-undang berkenaan.

Polis Diraja Malaysia/Facebook

#1 Kewajipan mengenakan tali pinggang keselamatan bagi penumpang di tempat duduk belakang

Ia bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan arahan pemakaian tali pinggang keselamatan untuk penumpang di belakang sudah mula diwajibkan sejak tahun 2009 lagi. Cumanya bermula tahun ini, penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan lebih tegas dan serius.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke telah mengesahkan mengenai kewajipan terhadap pemakaian tali pinggang keselamatan kepada individu berumur 17 tahun dan ke atas di tempat duduk belakang bermula pada tahun ini.

Buat kanak-kanak atau remaja yang berusia di bawah 17 tahun yang didapati tidak mengenakannya pula akan membuatkan pemandu dikenakan saman sebanyak RM300.

#2 Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS)

Arahan terhadap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam setiap kenderaan persendirian sebenarnya sudah mula dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu manakala tindakan penguatkuasaannya akan dibuat selepas tempoh enam bulan pelaksanaannya.

Tempoh enam bulan pertama tersebut diberikan bagi tujuan mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya penggunaan kerusi keselamatan buat golongan kanak-kanak.

#3 Penguatkuasaan penuh larangan merokok di premis makan

Bermula 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan penguatkuasaan penuh yang lebih tegas terhadap larangan merokok di semua premis makan dengan kompaun maksimum sehingga RM350 akan dikenakan terhadap individu yang melanggarnya.

Selain perokok, pemilik premis juga bakal berhadapan dengan kompaun sekiranya gagal untuk memastikan premis miliknya bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok.

#4 Penguatkuasaan penuh larangan penggunaan straw plastik pakai buang

Sejak 1 Januari 2019 lagi, Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengambil inisiatif untuk memasukkan larangan penggunaan straw plastik pakai buang di dalam syarat-syarat lesen kepada peniaga namun pada tahun ini ia akan dikuatkuasakan sepenuhnya.

Larangan tersebut meliputi kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebelum ianya diseragamkan ke negeri-negeri lain selaras dengan pelan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) mengenai hala tuju sifar penggunaan plastik pakai buang menjelang tahun 2030.

#5 Cukai perkhidmatan digital

Ia telah mula dilaksanakan bermula 1 Januari lalu, melibatkan perkhidmatan muat-turun perisian, penstriman muzik dan video serta pengiklanan secara digital.

Ini termasuklah perkhidmatan digital popular seperti Netflix, Spotify, Amazon, pengiklanan di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, pengkomputeran awan, aplikasi dan permainan pada telefon pintar.

Berdasarkan rekod yang dikeluarkan, lebih 10 juta pengguna perkhidmatan digital di negara ini bakal berhadapan dengan kenaikan caj langganan perkhidmatan kesan daripada pelaksanaan Cukai Perkhidmatan Digital yang dilaksanakan bermula tahun ini.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular