CHINA – Pihak kerajaan telah mengesahkan bahawa wabak pneumonia yang melanda di bandar Wuhan, kini telah mencatatkan sejumlah 59 orang pesakit dalam tempoh kurang daripada seminggu.

Jangkitan yang mula dilaporkan di bandar dengan lebih 11 juta penduduk itu menyebabkan spekulasi di laman media sosial bahawa ia mungkin wabak SARS yang mudah berjangkit.

Sungguhpun begitu, Suruhanjaya Kesihatan Wuhan menegaskan bahawa wabak itu bukan selesema burung, adenovirus, SARS ataupun MERS. Difahamkan bahawa para pesakit mengalami simptom seperti demam, mengalami kesukaran bernafas dan lesi invasif di dalam paru-paru.

Daripada jumlah 59 pesakit terbabit, 7 daripadanya berada dalam keadaan yang serius manakala selebihnya menunjukkan tanda tubuh masih dalam keadaan stabil.

Kesemua pesakit telah diasingkan dan menerima rawatan lanjut di Hospital Jinyintan, daerah Dongxihu, Wuhan. Pesakit pertama yang mengalami wabak ini mula dilaporkan pada 12 Disember lalu manakala pesakit terakhir yang dilaporkan buat masa ini adalah pada 29 Disember.

Menurut sumber, rekod pesakit tersebut adalah membabitkan mereka yang bekerja di pasaraya basah Huanan. Difahamkan bahawa pasaraya berkenaan yang menjual daging mentah dan makanan laut tersebut telah pun ditutup pada 1 Januari lalu untuk proses nyah-kuman.

Sungguhpun begitu, masih tiada lagi informasi tentang bagaimana pesakit berkenaan boleh terdedah kepada wabak terbabit memandangkan setakat ini masih tiada lagi bukti yang menunjukkan wujudnya jangkitan daripada manusia ke manusia lain.

Dalam pada itu, perhatian semakin meningkat di bandar dan negara jiran. Pengunjung dari Hong Kong, Macau, Singapura dan Taiwan yang melawat Wuhan dan telah menunjukkan gejala demam, telah dikuarantinkan untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pendedahan daripada Suruhanjaya tersebut juga mendapati bahawa selain 59 orang pesakit di China, terdapat 5 orang pesakit yang terkena wabak itu di Singapura manakala 16 orang pesakit lagi dicatatkan di Hong Kong, di mana mereka turut dirawat ekoran menunjukkan gajala pneumonia selepas melawat bandar di China.

Walaupun keadaan itu agak membimbangkan, namun menurut seorang wartawan, pihak kerajaan masih enggan mengeluarkan amaran kepada umum tentang epidemik terbabit dan ia hanya didedahkan secara ‘tidak sengaja’.

“Beberapa penjawat awam dihukum. Ini kerana pihak kerajaan mendefinisikan pendedahan terhadap situasi ini hanya akan menjejaskan kestabilan sosial. Kerajaan minta kesemua jabatan untuk memastikan setiap kakitangan menutup mulut”, jelasnya.

Seorang ahli biokimia, Chan King-ming, yang menjalankan kajian di Hong Kong menjelaskan bahawa kerajaan seharusnya memulakan mekanisme pemberian amaran awal kepada umum. Jika tidak, wabak ini akan berjangkit pada lebih ramai lagi dan sukar dikawal. Virus ini boleh bermutasi”.  

Pada 4 Januari lalu, kerajaan Hong Kong telah melancarkan tindak balas terhadap virus selain langkah pencegahan wabak itu daripada merebak. Di Taiwan, Menteri Kesihatan dan Kebajikan Taiwan, Chen Shih-chung pula mengumumkan bahawa kerajaannya akan memantau dan mengasingkan pesakit yang mempunyai gejala pneumonia setelah melawat Wuhan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL KESIHATAN

Video Popular